POLIS bertanggungjawab atas kehilangan dua aktivis lebih tiga tahun lalu, menurut kesimpulan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini selepas setahun bersidang.
Pastor Raymond Koh dan Pengasas Perlis Hope Amri Che Mat diculik oleh pasukan Cawangan Khas dari ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman, dan tidak ditemui lagi hingga sekarang, kata Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai.
“Ejen kerajaan terbabit,” katanya pagi ini.
Panel siasatan itu sebulat suara dengan keputusan itu, katanya.
Siasatan awam itu ditubuhkan tahun lalu untuk memastikan sama ada Koh, Amri dan dua yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth – adalah mangsa hilang paksa.
Mengikut undang-undang hak asas manusia antarabangsa, hilang paksa berlaku apabila seseorang individu diculik atau dikurung secara rahsia oleh ejen kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga untuk ejen kerajaan, disokong atau persetujuan ejen kerajaan atau organisasi politik.
Siasatan awam itu mendengar keterangan bahawa laporan polis dibuat terhadap Koh, beberapa bulan selepas penculikannya, kerana didakwa memurtadkan golongan belia di utara.
Laporan itu dibuat oleh seorang ahli perniagaan pada April 2017 selepas Koh diculik pada 13 Februari. Pada masa itu, dilaporkan polis merakamkan kenyataan daripada dua belia yang mendakwa mereka didatangi tiga lelaki, salah seorangnya dipercayai adalah Koh.
Sementara itu, aktivis Amri berada dalam pemerhatian polis susulan kaitannya dengan Syiah. – 3 April, 2019.
MENYUSUL
Komen