PADA sekitar 1987 hingga 1990, ia tahun-tahun yang jenuh dengan kegilaan pembikin, pengkritik dan peminat filem tempatan menonton lambakan puluhan filem seni dalam setahun.
Pelbagai sesi tayangan anjuran persatuan dan komuniti filem yang dilanda kegilaan pada filem seni. Malah, British Council dan Kedutaan Perancis juga seperti ikut berlumba. Perang senyap dalam menerapkan kolonialisme estetika filem.
Dua negara kuasa besar ini cuba meluaskan pengaruh filem seni ala Los Angeles dan acuan Paris. Ia semacam perang meluaskan doktrin seni pula.
Tahun 1987, sebagai budak hingusan yang baru bekerja sebagai kru filem, saya turut terkena tempias fenomena penggila filem seni. Jadi, terikut-ikut dan sempat mabuk filem seni secara percuma. Menonton filem-filem begini, menyeret saya mengenali trilogi The World of Apu karya Satyajit Ray.
Waktu itu juga, filem seni dekad 50-an dan 60-an karya Akira Kurosawa turut dipuja semula. Kuala Lumpur dilanda demam Seven Samurai, Roshomon dan Ran. Satu ledakan yang sengaja diwarwarkan sebagai simbol estetika intelek dari dunia Timur.
Malah, filem-filem yang dinilai bagus dari Jakarta seperti Cinta Dalam Sepotong Roti (Garin Nugroho), Serangan Fajar (Ariffin C Noer) dan Secangkir Kopi Pahit (Teguh Karya) juga dibawa masuk dan ditayangkan khusus untuk penggila filem kelas seni dan intelek.
Kedutaan Perancis juga tidak mahu mengalah. Pada era pecandu filem sedang mabuk kasmaran dengan nilai estetika sebagai dimensi intelektual, Festival Filem Seni Perancis dianjurkan di Panggung Drama Kuala Lumpur selama seminggu. Itu sekitar 1989.
Penghujung dekad 80-an, semacam era penggila filem seni boleh muntah menyusun jadual dan menuju ke pelbagai lokasi demi menyadap filem seni.
Dari Finas ke Kedutaan Perancis sampai British Council untuk mengejar fenomena bergengsi intelek dengan bertopengkan filem seni.
Sebagai kru filem pada sekitar 1986 dan dilatih Nasir Jani, kami didoktrin dengan filem-filem kiri dan anti popular. Sesi menonton filem dibuat di mana-mana saja, terutama di rumah pelakon Azizah Mahzan.
Semua filem yang diputarkan tetap diterap dengan estetika. Sama ada shot, pencahayaan, lakonan dan lakon layar. Malah, tentu saja falsafahnya.
Saya terkebil-kebil menonton filem The Name of the Rose arahan Jean-Jacques Annaud yang menampilkan Sean Connery dan F Murray Abraham. Malah, makin terseru menonton filem The Red Shorgum karya Zhang Yimou.
Kalau ke Finas saya lebih selesa menonton filem Melayu atau Indonesia. Saya fikir, sebagai budak filem yang baru bertatih dan bercita-cita menulis skrip – menonton bahan yang realistik dengan realiti setempat dan serantau, adalah obses seni yang lebih relevan.
Agak berkecamuk juga untuk turut mabuk percuma menyadap filem seni yang datang dari ceruk budaya yang terasa utopia falsafah seninya.
Saya jeran menonton filem seni kalau sekadar memenuhi keghairahan eksplorasi estetika intelektual. Saya fikir, budaya menonton filem bukan alat untuk sekadar berlagak hebat.
Masuk keluar panggung
Sejak berusia sembilan tahun dan tinggal di Jalan Putera, Alor Setar, Kedah – saya didewasakan dengan filem-filem Kantonis keluaran Hong Kong dan Mandarin keluaran Taiwan.
Saya keluar masuk Pawagam Putra secara percuma kerana terletak di sebelah kampung saya.
Jadi, kalau ditayangkan filem-filem cinta lakonan Andy Lau Tak Wah, Chow Yuen Fatt dan George Lam serta aktres kegemaran saya Lin Chin Sia, Anita Mui dan Maggie Cheung, saya boleh berada di pawagam sejak tayangan pertama 11 pagi hingga tayangan akhir 9 malam.
Semua penjaga panggung saudara mara saya. Jadi, pawagam itu macam rumah kedua. Tanpa larangan, saya boleh duduk menonton filem yang sama sampai empat atau lima kali sehari, selagi mahu dan tidak muntah melihatnya.
Selain pawagam Putra, sekitar 200 meter dari rumah, di kepala Jalan Putera, terdapat pawagam Rex. Saya masih boleh keluar masuk sesuka hati menonton filem Inggeris selagi saya mahu. Semua pekerja pawagam adalah orang kampung saya.
Di pawagam Rex itulah, saya jatuh cinta pada Olivia Newton John dalam filem Grease (1978). Malah, berharap menjadi lelaki dewasa yang berjambang seperti Kris Kristopherson dalam filem A Star Is Born (1976).
Saya membesar di situ dengan trilogi filem tarian John Travolta (Grease, Saturday Night Fever dan Staying Alive). Selain didoktrin filem Hollywood dengan tiga sekuel Rambo serta melihat hebatnya Sylvester Stallone dalam trilogi Rocky Balboa.
Pawagam Rex juga membawa filem Bollywood termasuk Qurbani (1980) dan Naseeb (1981).
Belajar dari filem
Pada 1984, saya merantau ke Kuala Lumpur. Pada 1987 saya menjadi kru filem. Guru produksi saya ialah Nasir Jani. Saya dilatih menonton dan menonton filem tanpa henti.
Saya menonton The Godfather 3 (1990) dan keluar masuk pawagam Rex di Jalan Petaling. Nasir Jani memaksa saya menonton Rain Man (1988) dan Black Rain (1989).
Nasir guru yang garang dan impresif. Semua pakai hukum paksa. Tetapi itulah guru yang baik. Anak didik tidak akan dimanja. Selain itu, puluhan filem seni atau filem award winning ditonton di rumahnya atau ketika melepak ramai-ramai di rumah pelakon Azizah Mahzan.
Setelah tiga tahun menjadi kru filem dan bersama Nasir Jani dalam hampir 10 telefilem, saya tidak fikir, jiwa saya ke situ.
Ketika penggambaran drama bersiri Laila Sari di Jerai, Kedah, saya keletihan dan menarik diri. Sejak itu, tertutuplah impian untuk menjadi pembikin filem.
Seterusnya, saya hanya sempat dua tahun bekerja sebagai penilai skrip di Astro pada 1996 hingga 1998 di bawah seliaan Mahadi J. Murad dan Shuhaimi Baba.
Terima kasih juga kerana diberi peluang mengikuti kelas penulisan skrip di bawah seliaan London International Film School.
Minat pada kewartawanan menyebabkan saya meninggalkan tugas eksekutif drama di Astro dan kembali ke bilik berita di ntv7.
Selama dua tahun dibimbing Mahadi dan Shuhaimi, saya menulis 13 episod drama Raja Snuker (1997) yang diarahkan Adman Salleh dan dilakonkan Khalid Salleh, Hani Mohsen dan Haliza Misbun. Juga dua telemovie iaitu Lombong (1997) dan Jack Jalalludin (1998).
Selepas itu, filem hanya tontonan masa senggang. Saya fikir, jiwa filem yang dimiliki tidak cukup kental untuk menggagahi industri filem. Apatah lagi, untuk terarah dalam filem seni yang obses pada selera intelektual.
Selama 20 tahun sebagai orang TV, saya memilih untuk terus mengikuti filem-filem semasa dari Hollywood, Bollywood, Seoul, Beijing dan Jakarta.
Dilse (Bombay/1998), Meet Joe Black (Hollywood/1999), Radit & Jani (Jakarta/ 2008), Daisy (Seoul/2006) dan Secret (Taiwan/2007) tetap meninggalkan ingatan estetika pada saya.
Ia antara ratusan filem-filem biasa yang ditonton, tetapi dengan dorongan sebagai manusia kecil yang mencari subjek yang relevan dari seni layar lebar.
Banyak air mata mengalir ketika menonton perjuangan Radit & Jani pada period ancaman dadah turut menjadi bencana utama terhadap anak muda Jakarta.
Banyak air mata tumpah kerana terharu pada realiti cinta suci antara Ye Xiang Lun dan Lu Xiao Yu dalam filem Secret.
Malah, hingga sekarang, saya menonton paling tidak setahun sekali filem Meet Joe Black dan bersemangat menghargai watak budiman Joe Black (Brad Pitt) dan mulusnya watak Sudan Parrish (Claire Forlani), selain watak luar biasa William Parrish (Anthony Hopkins).
Hidup saya, masih relevan dengan filem. Ketika dirundung rasa galau atau perit, semua kedukaan itu masih mampu disembuhkan katarsis sebuah filem.
Nilai intelek, jiwa estetika
Barangkali, IQ seni saya tidak mencapai nilai intelek dan jiwa estetik yang merabung ke cucur langit. Tanpa kualiti supra itu, membuatkan saya lebih selesa menonton berulang kali filem Ada Apa Dengan Cinta sama ada versi 1 atau 2.
Level IQ saya lebih simple dan suka mencari pesona yang tercapai sebagai manusia biasa.
Barangkali juga, kerana papa estetika dan IQ tidak dipacu falsafah seni kelas intelek, menjadikan saya suka pada semua filem-filem Rudy Soedjarwo.
Tanpa bosan, saya ulang-ulang menonton Sembilan Naga (2006), Mendadak Dangdut (2006), Mengejar Matahari (2004) dan Tentang Dia (2005).
Sebagai budak kampung yang sejak berusia sembilan hingga 17 tahun membesar dengan keluar masuk pawagam Putra dan Rex di Alor Setar secara percuma, juga tiga tahun menjadi kru drama (1987-1990), filem mendidik saya menjadi manusia biasa. Bukan intelektual.
Malah, sebagai wartawan hiburan Mingguan Malaysia (1995-1996) dan eksekutif skrip Astro (1996-1998), saya sempat melihat filem dan drama dari dekat. Cuma sebagai pencari realiti dalam cerita dan bukan pemburu seni dan falsafah intelektual dalam cerekanya.
Sebagai kanak-kanak dan remaja, sebagai budak perantau dalam industri, sebagai wartawan hiburan dan eksekutif skrip, saya masih percaya: filem ialah rakaman realiti yang berpijak di bumi nyata.
Filem ialah aset seni dan agen seniman yang sangat berfungsi untuk melobi dan berekspresi mengenai membina manusia dan negara bangsa.
Filem seni barangkali hanya memenuhi kegilaan estetika atau obses intelektual yang selalunya tidak berpijak pada realiti nyata. Obses yang melampau ada kala hanya sekadar nafsu seks untuk berzina.
Filem tulen masih kekal sebagai alat perjuangan seniman. Terutama bagi negara muda seperti Malaysia. Mabuk seni dan kegilaan obses intelektual yang keterlaluan dan tidak keruan levelnya, hanya menjadikan filem sebagai alat berbongkak sahaja.
Selalunya, bongkak itu milik orang yang nol IQnya. Entahlah…. – 3 April, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen