Pihak berkuasa LA, LGBT gesa boikot hotel kerabat Brunei


Pihak berkuasa dan pemimpin LGBT di Los Angeles menggesa dua hotel milik kerabat diraja Brunei, Hotel Beverly Hills dan Hotel Bel-Air diboikot susulan negara itu mengenakan hukuman mati terhadap gay dan penzina. – Gambar AFP, 3 April. 2019.

PIHAK berkuasa dan pemimpin LGBT di California bersatu mendesak orang ramai memboikot rangkaian hotel dimiliki oleh Brunei di kawasan Los Angeles.

Gesaan boikot Hotel Beverly Hills yang terkenal dengan kunjungan selebriti Hollywood dan Hotel Bel-Air itu dibuat susulan Sultan Brunei mengumumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap gay dan penzina.

“Sebagai wakil yang dipilih di bandar ini, saya mewakili masyarakat Los Angeles dan menggesa semua orang memboikot hotel milik kerabat diraja Brunei,” kata Ron Galperin dalam satu kenyataan.

“Saya tidak akan menjejakkan kaki ke outlet itu selagi ia dimiliki dan dikawal oleh rejim yang sanggup membunuh orang LGBT.

“Walaupun saya rasa kasihan kepada ramai kakitangan hotel itu yang bekerja keras, tidak ada siapa pun patut menyokong dan menghadiri acara di situ sedangkan ada nyawa yang dipertaruhkan,” katanya.

Ahli majlis Los Angeles Paul Koretz berkata orang ramai patut mengelak ke hotel itu walaupun ia bermakna mencemarkan reputasi dan sejarah penuh lagenda di situ.

“Los Angeles dan Amerika Syarikat serta dunia patut mengenakan hukuman keras terhadap Brunei kerana menarik balik hak LGBT kembali ke zaman batu,” kata Pengerusi Majlis Penasihat Transgender Karina Samala.

“Kami manusia yang ada hak untuk hidup dalam kebebasan.”

Legenda pop Britain Elton John dan pelakon AS George Clooney juga menggesa boikot hotel dan hartanah lain milik Sultan Brunei di Britain, Perancis dan Itali.

Sultan Brunei mengumumkan kanun keseksaan syariah yang baharu itu berkuat kuasa di negara Asia yang kecil itu, dan mendapat kritikan keras daripada kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Brunei kali pertama mengumumkan langkah itu pada 2013, tetapi pelaksanaannya ditangguhkan.

Undang-undang baharu itu mengenakan hukuman mati terhadap beberapa kesalahan termasuk merogol, berzina, meliwat, merompak dan menghina atau memfitnah Nabi Muhammad. – AFP, 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen