Suspek bunuh penyanyi rap Nipsey Hussle ditangkap


Penyanyi rap Nipsey Hussle maut ditembak beberapa kali di depan butik pakaiannya di Los Angeles. – Gambar AFP, 3 April, 2019.

POLIS Los Angeles pada Selasa berkata mereka menahan lelaki yang disyaki membunuh penyanyi rap Nipsey Hussle, menamatkan pemburuan selama dua hari susulan kematian mengejut artis yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy itu.

Polis berkata, suspek Eric Holder kini dalam tahanan polis susulan kejadian tembakan maut, yang dikatakan oleh pihak berkuasa ada kaitan dengan geng dan bersifat peribadi.

Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti, yang menyalahkan “keganasan senjata api” sebagai punca kematian Hussle, 33, menyuarakan harapan “keadilan untuk keluarga Nepsey dan masyarakat” ketika tangkapan itu diumumkan.

Terdahulu pada Selasa, Ketua Polis LA, Michel Moore berkata suspek bergaduh mulut dengan Hussle di depan butik pakaian penyanyi rap itu.

Suspek kemudian “kembali dengan bersenjatakan pistol” dan menembak Hussle beberapa kali pada jarak dekat.

Pada Isnin. Pejabat koroner LA County mengatakan penyanyi rap itu mati akibat luka tembakan di kepala.

Pihak berkuasa menuntut perdamaian di LA, di mana acara penghormatan untuk Hussle bertukar kecoh apabila berlaku insiden rempuhan yang menyebabkan beberapa individu cedera. – AFP, 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen