SPRM teruskan serbuan di pejabat HRDF


Ragananthini Vethasalam

Para pegawai penyiasat SPRM mengambil berkotak-kotak dokumen mengenai bil berkaitan program latihan HRDF. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019.

PARA penyiasat antirasuah “berkampung” di pejabat Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk meneliti dokumen dalam gelombang operasi baharu siasatan terhadap tuntutan palsu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, para pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil berkotak-kotak dokumen mengenai bil berkaitan program latihan HRDF.

Mereka dijangka kembali ke pejabat HRDF, Bukit Damansara hari ini.

“Antara dokumen yang diambil adalah berkaitan kursus latihan yang kononnya diadakan di beberapa bahagian negara. Tujuh kotak fail diambil,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Beberapa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 18, Akta SPRM.”

Mengikut Seksyen 18 Akta SPRM “mana-mana individu yang menyediakan dokumen seperti resit atau invois yang palsu atau mengandungi butiran palsu dengan niat untuk menipu prinsipal (pejabat)” melakukan satu kesalahan.

Pegawai SPRM berada di bangunan HRDF dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada Isnin, meneliti dokumen dan merakamkan kenyataan beberapa kakitangan.

Lebih banyak kenyataan termasuk pegawai tinggi daripada pentadbiran terdahulu dijangka direkodkan dalam beberapa hari akan datang.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mengatakan jutaan ringgit disalahgunakan daripada dana yang bertujuan untuk program latihan, oleh pentadbiran masa lalu. Wang itu didakwa membeli hartanah dan membayar gaji serta bonus yang besar untuk pekerja terpilih.

Laporan polis dibuat berhubung penyalahgunaan kewangan yang dikatakan berlaku.

Kulasegaran juga mengumumkan Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus (GOC), yang dianggotai oleh lima anggota bebas untuk melakukan kajian menyeluruh dalam tempoh 100 hari.

Perkara ini berlaku selepas penyedia latihan mempersoalkan pihak pengurusan HRDF di depan kehadiran menteri semasa sesi Town Hall.

Dana itu juga diteliti selepas dilaporkan pada Januari sebuah bangunan enam tingkat dibeli dengan harga RM154 juta tanpa pengetahuan lembaga dan panel pelaburan.

Pada Januari, polis menyerbu pejabat HRDF dan mengambil berkotak dokumen. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen