Setahun siasatan, Suhakam dedah kes aktivis hilang hari ini


Noel Achariam

ADAKAH penculikan pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis, Amri Che Mat merupakan kes penghilangan paksa yang dikuatkuasakan oleh negara?

Inilah yang akan didedahkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini selepas setahun siasatan awam dilakukan terhadap kehilangan dua aktivis ini tiga tahun lalu.

Di dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, penghilangan paksa dikuatkuasakan apabila seseorang itu secara rahsia diculik atau dipenjarakan oleh sesebuah negara atau organisasi politik atau oleh pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan.

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai memberitahu The Malaysian Insight bahawa laporan itu akan mengandungi akaun fakta, undang-undang, penemuan, kesimpulan dan cadangan.

“Sebaik sahaja kami mengumumkan penemuan, kami akan mengemukakannya kepada suruhanjaya itu.

“Mereka akan menyerahkan laporan kepada polis dan agensi berkaitan,” katanya.

Suhakam menamatkan siasatan kes kehilangan Koh pada 7 Disember 2018 tanpa petunjuk tentang keberadaannya atau orang-orang yang terlibat dalam penculikannya.

Siasatan itu ditutup secara rasmi selepas tiga panel mendengar keterangan daripada 16 saksi terdiri daripada orang awam, ahli keluarga, polis dan agensi berkaitan.

Koh diculik ketika memandu di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017 oleh kira-kira 15 lelaki menaiki tiga kenderaan SUV berwarna hitam.

Penculikan yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) digambarkan sebagai operasi yang yang diselaraskan dengan baik.

Aktivis lain yang hilang juga menjadi subjek pertanyaan Suhakam ialah Amri, pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth.

Isteri Koh, Susanna Liew menyatakan rasa lega di akhir siasatan dan berkata, ia menjadi proses panjang dan memenatkan buat ahli keluarga sejak pemeriksaan awam bermula 19 Oktober 2017.

“Kami harap kebenaran akan terbukti. Kami masih berharap Koh dan yang lain dibebaskan serta pesalah dibawah ke mahkamah,” katanya.

Suhakam juga sudah menutup siasatan terhadap kehilangan pengasas Perlis Hope, Amri pada 31 Oktober 2018.

Mah berkata, panel sudah membuat keputusan sebulat suara mengenai perkara itu demi kepentingan masa.

Siasatan terhadap Amri bermula pada 22 Januari tahun ini dan menyaksikan 24 saksi memberi keterangan.

Tambahnya, walaupun siasatan itu sudah ditutup, ada kemungkinan ia dibuka semula sekiranya ada bukti baharu.

Objektif siasatan adalah untuk memastikan sama ada kes merupakan kes kehilangan paksa.  – 3 April, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen