SEKURANG-KURANGNYA tiga anggota tentera Pakistan terbunuh dalam satu pertempuran dengan pengawal sempadan India di sempadan Kashmir yang menjadi pertikaian, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan tentera hari ini.
Insiden itu yang terkini dalam siri pertempuran di kawasan sempadan antara kedua-dua negara kuasa nuklear yang berjiran sejak beberapa tahun kebelakangan ini berlaku di kawasan Rakhchakri dalam sektor Rawlakot sepanjang Garis Kawalan (LoC), sempadan de facto yang membahagikan lembah Himalaya yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara, selepas berehat hanya beberapa minggu.
“Tiga anak kelahiran Pakistan terkorban ketika bertugas di Rakhchakri, sektor Rawalakot sepanjang LoC,” menurut kenyataan Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) yang merupakan sayap media tentera.
Seorang anggota tentera turut cedera dalam pertempuran itu, kata ISPR.
“Tentera Pakistan bertindak balas dengan berkesan. Terdapa laporan mengenai mangsa yang maut dan cedera di pihak India,” katanya.
Kedua-dua musuh tradisi terjerumus dalam kancah ketegangan diplomatik dan ketenteraan susulan satu serangan bunuh diri ke atas sebuah konvoi tentera di Kashmir yang dikuasai India pada Februari yang meragut nyawa lebih 40 tentera India.
New Delhi menuduh Islamabad berpakat dengan kumpulan militan Jaish-e-Mohammad yang dilaporkan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu. Pakistan menyangkal tuduhan itu.
Ketegangan terus memuncak selepas pesawat pejuang India menceroboh ruang udara Pakistan dan mengebom lokasi yang disyaki tempat persembunyian kumpulan militan itu berhampiran sempadan pada Februari. Esoknya, tentera udara Pakistan menembak jatuh dua pesawat pejuang dan menahan seorang juruterbang yang kemudian dibebaskan. – Bernama, 2 April, 2019.
Komen