LEBIH daripada 113 juta orang diseluruh dunia mengalami kebuluran pada tahun lalu disebabkan peperangan dan bencana alam.
Negara-negara di Afrika merupakan yang paling teruk mengalaminya, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut laporan mengenai krisis makanan 2019 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Yemen, Republik Demokratik Congo, Afghanistan dan Syria adalah antara lapan negara yang menyumbang dua pertiga daripada jumlah penduduk seluruh dunia yang terdedah kepada kebuluran.
Laporan yang dilancarkan tiga tahun lalu adalah mengenai kajian ke atas negara-negara yang paling teruk terjejas.
Hampir 72 juta rakyat di negara-negara Afrika mengalami kebuluran, kata Pengarah FAO, Dominique Bourgeon.
Faktor utama kepada masalah kebuluran adalah pergolakan dan masalah keselamatan, ditambah dengan krisis ekonomi serta bencana alam seperti banjir dan kemarau, menurut laporan itu.
“Bagi negara-negara yang mengalami kebuluran, 80% daripada penduduk bergantung kepada pertanian.
“Mereka memerlukan bantuan kemanusiaan iaitu makanan dan langkah-langkah untuk meningkatkan pertanian,” kata Bourgeon .
Laporan itu juga menyebut tentang tekanan yang dikenakan ke atas negara yang mempunyai ramai pelarian, termasuk Syria dan Bangladesh yang menerima lebih daripada sejuta orang Islam Rohingya dari Myanmar. – AFP, 2 April, 2019.
Komen