KIRA-KIRA 68% populasi dunia diunjur tinggal di kawasan bandar menjelang 2050, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Isnin.
Bahagian populasi dunia yang tinggal di kawasan bandar diunjur meningkat daripada 56% pada 2019 kepada kira-kira 68% menjelang 2050, menurut laporan itu.
Laporan PBB itu bertajuk “Kajian dan Penilaian Program Tindakan Persidangan Antarabangsa mengenai Populasi dan Pembangunan serta sumbangannya terhadap susulan dan kajian Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan.”
Laporan itu dikemukakan oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres di sesi substantif ke-52 Suruhanjaya PBB mengenai Populasi dan Pembangunan yang berlangsung pada Isnin.
“Peralihan daripada kehidupan di desa kepada kehidupan di bandar membawa banyak kelebihan untuk pembangunan mampan namun perlu diurus dengan baik untuk mengelak masalah sosial, ekonomi dan persekitaran akibat pertumbuhan bandar yang tidak dirancang.
“Populasi miskin dan lemah, yang cenderung menetap di kawasan terdedah kepada bencana alam serta alam sekitar yang berbahaya, akan menjadi golongan paling terjejas,” menurut laporan itu.
Antara 2000 dan 2017, jumlah pendatang antarabangsa dianggar meningkat hampir 50%, mencecah 258 juta pada 2017.
Kira-kira 10% pendatang antarabangsa adalah pelarian yang melarikan diri daripada konflik bersenjata atau penganiayaan, menurut laporan itu.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 pencapaian bersejarah dalam kerjasama global—penerimaan Program Tindakan Persidangan Antarabangsa mengenai Populasi dan Pembangunan di Kaherah, Mesir pada 1994. – Bernama, 2 April, 2019.
Komen