Kemas kini perisian Boeing dijangka diterima beberapa minggu lagi


Beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 susulan insiden pesawat terhempas di Ethiopia. – Gambar EPA, 2 April, 2019.

PARA pegawai Amerika Syarikat (AS) menjangka menerima kemas kini perisian pesawat Boeing jenis 737 Max dalam tempoh beberapa minggu lagi dan akan menjalankan kajian keselamatan yang ketat ke atasnya, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan yang dikeluarkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Isnin.

“FAA menjangka menerima pakej terakhir perisian Boeing yang ditambah baik dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk kelulusan,” menurut kenyataan itu.

“Masa diperlukan untuk kerja-kerja tambahan oleh Boeing sebagai hasil kajian berterusan terhadap Sistem Kawalan Penerbangan pesawat jenis 737 MAX bagi memastikan Boeing mengenal pasti dan menangani semua isu penting,” katanya.

Kerajaan AS mengarahkan agar semua pesawat Boeing jenis 737 MAX 8 dan 737 MAX 9 direhatkan susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines terhempas pada 10 Mac yang meragut 157 nyawa penumpang dan kru.

Nahas itu berlaku selepas sebuah lagi pesawat jenis sama terhempas di Indonesia pada Oktober tahun lepas yang menyebabkan 189 orang terkorban. – Bernama, 2 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen