PESERTA Felcra belum menerima skim pinjaman sara hidup kerana masalah kewangan yang berpunca daripada projek kontroversi Menara Felcra, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohd Radzi Md Jidin.
Jelasnya, dana Felcra Bhd terpaksa dialihkan ke projek bernilai RM1.1 bilion itu yang menyebabkan syarikat milik kerajaan tersebut terpaksa menangguhkan bayaran sara hidup peserta.
“Bangunan di (Jalan) Semarak itu bukan tujuan asal dan matlamat sebenar Felcra.
“Ia menjadi salah satu punca kekangan kewangan kerana ia perlu dialihkan wang tersebut, itu hakikatnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian demikian ketika ditanya Mukhriz Mahathir (PH – Jerlun) yang meminta menteri itu menyatakan sebab kegagalan Felcra meneruskan bayaran pinjaman itu.
Kerajaan pada Oktober lalu mengumumkan projek Menara Felcra itu akan dijual untuk menyelamatkan syarikat itu daripada menanggung kos projek tersebut.
Felcra perlu membelanjakan kira-kira RM400 juta sekiraya ingin meneruskan projek tersebut, yang telahpun bertukar pemaju.
Disember lalu pihak pengurusan Felcra telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendapati beberapa penemuan meragukan dalam laporan audit badan itu. – 2 April, 2019.
Komen