Mick Jagger bakal jalani pembedahan jantung


Mick Jagger yang kini berusia 75 tahun dijangka menjalani pembedahan jantung pada Jumaat ini. – Gambar EPA, 2 Aril, 2019.

VOKALIS kumpulan Rolling Stones, Mick Jagger akan menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung selepas kumpulan itu menangguhkan siri jelajah Amerika Utara, kata laporan hari ini.

Kumpulan dari Britain itu mengumumkan pada Sabtu ia menangguhkan jelajah “No Filter” bagi rocker berusia 75 tahun itu menerima rawatan perubatan yang belum dipastikan.

Majalah industri terkemuka Rolling Stone melaporkan pada Isnin ia melibatkan pembedahan injap jantung, susulan laporan terdahulu daripada Drudge Report, yang menambah prosedur akan dibuat pada Jumaat ini di New York.

“Mick Jagger dinasihatkan oleh doktor tidak boleh melakukan jelajah pada masa ini kerana beliau memerlukan rawatan perubatan,” kata band itu dalam satu kenyataan selepas penangguhan berkenaan.

“Doktor menasihatkan Mick beliau diharap dapat pulih sepenuhnya agar boleh kembali ke pentas secepat mungkin.”

Jagger turut menulis di Twitter: “Saya memohon maaf kepada semua peminat kami di Amerika & Kanada yang sudah membeli tiket. Saya sangat kesal kerana mengecewakan anda semua seperti ini.

“Saya kecewa kerana perlu menangguhkan jelajah tetapi saya akan berusaha keras untuk kembali ke pentas secepat yang mungkin. Sekali lagi, saya memohon kemaafan kepada semua.”

Jagger mempunyai lapan anak, lima cucu dan seorang cicit perempuan, tetapi masih mampu mengekalkan persembahan pentasnya yang bertenaga walaupun sudah mencecah usia 70-an, dengan beraksi di Festival Glastonbury Britain pada 2013.

Band yang ditubuhkan pada 1962 sepatutnya membuat 17 persembahan di Amerika Syarikat dan Kanada antara April dan Jun. – AFP, 2 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen