Anak wartawan Arab, Khashoggi dapat rumah, duit


Seorang wanita memegang papan tanda ‘jalan Jamal Khashoggi’ ketika ahli Amnesty International berhimpun di depan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 10 Januari lalu. – Gambar AFP, 2 April, 2019.

ANAK kepada wartawan Arab Saudi yang mati dibunuh, Jamal Khashoggi menerima rumah bernilai jutaan dolar dan dibayar beratus ribu dolar setiap bulan oleh pihak berkuasa negara itu, lapor The Washington Post.

Khashoggi – penulis jemputan dalam The Washington Post dan pengkritik tegar kerajaan Arab Saudi – dibunuh dan mayatnya dikecaikan pada Oktober di konsulat negara itu di Istanbul oleh sekumpulan 15 ejen dihantar dari Riyadh. Mayatnya tidak ditemui hingga sekarang.

Bayaran untuk empat anaknya – dua lelaki dan dua perempuan – adalah sebahagian usaha Arab Saudi untuk mencapai perjanjian jangka panjang dengan ahli keluarga Khashoggi, bertujuan memastikan mereka tidak memberikan sebarang kenyataan kepada umum, kata akhbar itu.

Rumah yang diberikan kepada anak Khashoggi terletak di bandar pelabuhan Jeddah dan bernilai AS$4 juta, lapor akhbar itu.

Salah, anak sulungnya bercadang terus tinggal di negara itu, sementara tiga lagi yang tinggal di Amerika Syarikat dijangka menjual rumah itu.

Sebagai tambahan, semua anak itu akan menerima AS$10,000 atau lebih setiap bulan dan menerima bayaran lebih besar yang mungkin mencecah puluhan juta setiap seorang, menurut laporan itu.

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman dituduh merancang pembunuhan Khashoggi tetapi negara itu mendakwa putera itu tidak terbabit.

Arab Saudi pada mulanya berkata tidak tahu tentang Khashoggi tetapi kemudian menyalahkan kumpulan ejen itu atas kematiannya.

Pendakwa raya negara itu mendakwa 11 individu dalam kes pembunuhan itu. – AFP, 2 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen