Penyanyi rock Mexico bunuh diri kerana #MeToo


Gerakan #MeToo tercetus di banyak negara susulan tuduhan seksual terhadap tokoh Hollywood Harvey Weinstein yang bermula pada 2017. – Gambar AFP, 2 April, 2019.

SEORANG bintang rock Mexico ditemui mati semalam selepas menulis nota bunuh diri di Twitter, berkata merancang membunuh dirinya sebagai “deklarasi radikal orang tidak bersalah” susulan didakwa melakukan gangguan seksual menerusi gerakan kempen #MeToo.

Armando Vega Gil, 63, pemain gitar untuk kumpulan rock veteran Botellita de Jerez (Little Bottle of Sherry), meninggal dunia awal pagi semalam, kata kumpulan itu di Twitter.

Pendakwa raya Mexico City berkata mereka menyiasat kematian lelaki yang ditemui tergantung di pokok dengan wayar di rumahnya di kawasan Narvarte.

Sumber siasatan mengesahkan lelaki itu ialah Vega.

Beberapa jam sebelum itu, Vega memuat naik nota bunuh diri di Twitter berkata beliau akan mengambil nyawanya sendiri sebagai reaksi kepada tuduhan daripada orang tidak dikenali bahawa beliau menyerang seorang remaja perempuan berusia 13 tahun secara seksual, lebih sedekad lalu.

Tuduhan itu dibuat awal malam sebelumnya di Twitter menerusi akaun @MeTooMusicaMX, sebahagian daripada gerakan #MeToo di Mexico yang mencetuskan kebanjiran tuduhan serangan seksual terhadap wartawan, ahli akademik, penulis dan lain-lain sejak beberapa minggu lalu.

“Saya menafikan tuduhan itu,” kata Vega yang juga seorang pemuisi dan penulis yang pernah memenangi anugerah.

 “Saya mesti menjelaskan kematian saya bukan pengakuan bersalah. Ia sebaliknya, ia deklarasi radikal bahawa saya tidak bersalah.”

Vega meninggalkan seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Pada awal Ahad, akaun @MeTooMusicaMX menyiarkan tuduhan seorang wanita yang berkata Vega berkawan dengannya ketika berusia 13 tahun dan Vega ketika itu 50 tahun.

Vega menjemputnya ke rumah dan melakukan beberapa perlakuan seksual yang tidak diingininya, termasuk memberitahu ingin mengajarnya bercium, kata mangsa.

Gerakan #MeToo di Mexico tidak meluas ketika ia tercetus susulan tuduhan seksual terhadap tokoh Hollywood Harvey Weinstein yang bermula pada 2017. – AFP, 2 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen