KETUA NASA semalam berkata kemusnahan salah satu satelit India sebagai “masalah besar” yang menyebabkan terwujudnya 400 serpihan di orbit dan membawa bahaya baharu kepada angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Jim Bridenstine berkata demikian kepada kakitangan NASA, lima hari selepas India menembak satelitnya dalam satu ujian senjata bagi membuktikan ia antara kuasa angkasa termaju dunia.
Tidak semua serpihan cukup besar untuk dikesan, kata Bridenstine.
“Apa yang kita jejaki sekarang, objek besar. Kita bercakap tentang objek kira-kira 10cm atau lebih besar – setakat ini 60 serpihan dikesan.”
Satelit India itu dimusnahkan pada altitud rendah 300km, di bawah ISS dan kebanyakan satelit di orbit.
Tetapi 24 daripada serpihan itu naik ke puncak ISS, kata Bridenstine.
“Ini sangat teruk. Aktiviti seperti ini tidak sesuai dengan masa depan manusia di angkasa. Ia tidak boleh diterima dan NAS perlu jelas tentang apa kesannya kepada kami.”
Tentera AS mengesan objek di angkasa, meramalkan risiko pertembungan untuk ISS dan satelit. Pada masa ini mereka menjejaki 23,000 objek lebih besar daripada 10cm.
Ia termasuk 10,000 serpihan angkasa, di mana hampir 3,000 berpunca daripada ujian anti satelit China pada 2007 kira-kira 530 batu dari permukaan. – AFP, 2 April, 2019.
Komen