1,052 kes taun di Mozambique


Seorang pekerja Unicef kelihatan menunggu di depan pusat rawatan taun yang baru dibuka di Macurungo di Beira, Mozambique. – Gambar EPA, 2 April, 2019.

KEMENTERIAN Kesihatan Mozambique melaporkan sekurang-kurangnya 1,052 rakyatnya dijangkiti taun, iaitu peningkatan yang amat ketara berbanding 139 kes dilaporkan empat hari lalu.

Peningkatan kes itu menunjukkan purata lebih 200 kes direkodkan setiap hari.

Namun, daripada jumlah itu, hanya satu kematian dicatatkan, berdasarkan maklumat dikumpul oleh kementerian berkenaan.

Kempen suntikan vaksin akan dilaksanakan secara besar-besaran mulai esok, ketika pihak berkuasa dan pekerja bantuan berusaha membendungnya daripada menjadi wabak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 900,000 dos vaksin taun dijangka tiba di bandar Beira, hari ini.

Beira antara bandar di Mozambique yang teruk dilanda taufan kira-kira dua minggu lalu dan sebanyak 959 kes taun direkodkan di kawasan itu.

Bandar yang mempunyai lebih 500,000 penduduk itu mencatatkan 247 kes dalam tempoh 24 jam antara Ahad hingga Isnin pagi. – AFP, 2 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen