SELEPAS beberapa kali ditangguhkan, perbicaraan pertama pertuduhan jenayah terhadap Najib Razak berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan bermula esok, menjadikan beliau bekas perdana menteri pertama Malaysia termasuk dalam senarai panjang pemimpin Asia yang didakwa menyalahgunakan kuasa selepas kerajaan bertukar.
Tiga pertuduhan ialah pecah amanah, tiga lagi atas kesalahan pengubahan wang haram dan satu kes salah guna kuasa, membabitkan nilai RM42 juta.
Perbicaraan kes SRC International terhadap Najib itu pada mulanya dijadualkan pada 12 Februari hingga 29 Mac tetapi ditangguhkan dua kali oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac, susulan rayuan dikemukakan pihak pembela dalam perkara interlokutori.
Jika disabitkan bersalah, bekas presiden Umno itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali daripada jumlah terbabit.
Pertuduhan terhadapnya membabitkan jumlah RM42 juta dan ada kaitan dengan jaminan pinjaman RM4 bilion diberikan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International.
Ada tiga lagi pertuduhan juga berkaitan dengan SRC International, di mana Najib dituduh melakukan pengubahan wang haram RM47 juta, tetapi tiga pertuduhan itu tidak dibicarakan serentak dengan tujuh pertuduhan berkenaan.

Walaupun ada yang menyifatkan perbicaraan ini bakal menjadi “ibu segala pertarungan undang-undang dalam sejarah Malaysia” kerana ini kali pertama bekas perdana menteri terbabit, tetapi perbicaraan dan pemenjaraan bekas pemimpin bukan perkara baharu di beberapa negara Asia.
Sukarno, pemimpin pertama Indonesia, disingkirkan menerusi rampasan kuasa oleh tentera pada 1965 dan meninggal dunia ketika dikenakan tahanan rumah pada 1970. Penyandangnya, Suharto memegang kuasa selama 31 tahun dan dikenakan tahanan rumah pada 2000.
Pendakwa raya mahu membicarakannya atas kesalahan menyelewengkan wang AS$571 juta tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
Di Thailand, Thaksin Shinawatra digulingkan sebagai perdana menteri dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan melarikan diri dari negara itu dua tahun kemudian. Ahli perniagaan jutawan itu disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah di Thailand dan kini hidup dalam buangan.
Adik perempuannya, Yingluck menjadi perdana menteri pada 2011 dan disingkirkan dalam satu rampasan kuasa tiga tahun kemudian. Beliau melarikan diri dari negara itu pada 2017 sebelum disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan kuasa.
Di Filipina, bekas pelakon yang kemudian menjadi presiden, Joseph Estrada pemimpin Asia pertama didakwa pada 2001 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, enam tahun kemudian kerana mencuri AS$80 juta daripada kerajaan.
Estrada bagaimanapun diberi pengampunan oleh bekas naib presidennya Gloria Macapagal Arroyo, yang turut ditahan selepas meletak jawatan sebagai presiden pada 2010.
Beberapa pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya, termasuk penipuan pilihan raya dan rasuah, tetapi beliau dilepaskan oleh mahkamah pada 2016 dan menyambung kembali karier politiknya.
Penyandangnya, Benigno Aquino didakwa tahun lalu berkaitan kes jenayah membabitkan AS$1.35 bilion kerana gagal mendapatkan kelulusan kongres untuk menggunakan dana kerajaan bagi melaksanakan projek kerajaan.
Diktator Filipina Ferdinand Marcos tidak pernah didakwa selepas melarikan diri ke Hawaii pada 1986, selepas gagal dipecat setahun sebelumnya. Marcos dikatakan menyelewengkan sehingga AS$10 bilion dalam tempoh dua dekad pemerintahannya. – 2 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen