MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai tribunal dunia itu selepas Washington kerap mempertikaikan badan perundangan global itu.
Presiden ICC Chile Eboe-Osuji meminta AS menyertai negara-negara lain dan menjadi sekutu Statut Rom, merujuk kepada perjanjian yang mengasaskan mahkamah itu.
“Mangsa genosid masa lalu, kini dan akan datang, jenayah terhadap kemanusian dan jenayah perang mahu AS berbuat demikian (sertai ICC), ” kata Eboe-Osuji.
AS tidak pernah menyertai ICC. Ketua pendakwa raya mahkamah itu Fatou Bensouda pada November 2017 meminta kebenaran untuk membuka siasatan terhadap jenayah perang yang dilakukan Washington di Afghanistan.
Beberapa pakar perundangan berkata kes itu adalah paling rumit dan kontroversi yang pernah disiasat di ICC setakat ini.
Ia mungkin menjadi kes pertama melibatkan AS dalam jenayah perang dan menjadi perhatian ramai pihak.
Namun Setiausaha AS Mike Pompeo pada dua minggu lalu mengumumkan Washington akan menyekat visa anggota ICC yang terlibat dalam siasatan terhadap tentara AS di Afghanistan atau negara lain.
Kenyataan itu merupakan tindakan konkrit pertama AS ke atas ICC sejak Washington mengugut untuk mengambil tindak balas terhadap tribunal itu pada September tahun lalu.
ICC merupakan satu-satunya badan perundangan bebas dunia yang ditubuhkan pada 2002 di The Hague bagi menangani jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah kemanusian.
Bagaimanapun ICC hanya boleh terlibat apabila negara anggotanya tidak mampu menyiasat kes itu sendiri.
Siasatan boleh dijalankan ke atas negara yang menjadi mangsa, dan dalam kes AS, Afghanistan merupakan anggota ICC.
Hubungan AS dan ICC menjadi tegang sejak mahkamah itu mula beroperasi.
Kongres AS pada 2002 meluluskan Akta Perlindungan Ahli Perkhidmatan Amerika yang mengandungi beberapa peruntukan bagi mengelakkan rakyatnya dibicarakan di ICC.
Satu daripadanya dikenali sebagai ‘Akta Pencerobohan Hague’ membenarkan presiden AS menggunakan kuasa tentera untuk membebaskan askarnya yang ditahan ICC. – AFP, 1 April, 2019.
Komen