MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan empat pelajar untuk mencabar keputusan Universiti Malaya yang menyabitkan mereka bersalah melanggar peraturan tatatertib kerana mengangkat plakad pada forum 1MDB Oktober lepas.
Kebenaran itu diberikan Hakim Mahkamah Tinggi Azizah Nawawi.
Lim Wei Jiet, peguam kepada kumpulan pelajar itu berkata anak guamnya “gembira” dengan keputusan hari ini.
“Ini bermakna mahkamah melihat asas mencabar keputusan universiti yang menyabitkan pelajar sebagai tidak remeh dan menyusahkan,” katanya.
Pada forum awam Oktober lalu, ketika Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy sedang berucap, empat pelajar itu memegang plakad bertulis “pelajar mahukan jawapan” dan “1MDB- kami mahu jawapan”.
Pelajar itu kemudiannya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Universiti pada Januari dan pada mulanya didenda antara RM200 hingga RM600. Mereka juga menerima amaran keras selepas rayuan.
Pelajar yang terlibat ialah bekas Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Ho Chi Yang, Timbalan Presiden Umany Tan Jia You, Ketua Biro Publisiti Umany Chua Hun Ti dan Setiausaha Agung Umany Lau Li Yang.
Lim berkata universiti tidak mematuhi peraturan jawatankuasa tatatertibnya sendiri ketika prosiding kes itu dijalankan.
Universiti juga melanggar peraturan keadilan sejagat dan pendakwaan dengan bias.
“Ini adalah kerana pegawai universiti yang menyediakan pendakwaan juga adalah orang yang sama mempengerusikan pendengaran tatatertib itu dan akan menentukan sama ada pelajar bersalah atau tidak,” kata Lim.
Lim menambah yang universiti juga tidak mengambil kira tidak wujud gangguan kepada majlis itu dan ia dapat berjalan secara aman.
Dalam sesi townhall yang sama dengan Obama, pelajar itu juga memegang plakad, kata Lim “Mereka tidak dihukum. Malah Kedutaan AS mengeluarkan kenyataan yang mereka menyokong kebebasan bersuara.
“Inilah pendirian yang perlu diambil universiti- menghormati hak kebebasan bersuara pelajar.
“Semua aduan pengadu mempunyai asas semakan kehakiman. Kami tidak sabar untuk memastikan perkara ini diputuskan berdasarkan meritnya,” katanya lagi. – 13 September, 2017.
Komen