PENGUMUMAN dari Peguam Negara Tommy Thomas kini ditunggu-tunggu, berkenaan apakah langkah seterusnya dari kerajaan ekoran kapal pesiar mewah Equanimity gagal dijual meskipun melepasi tarikh akhirnya iaitu semalam.
Thomas dijangka akan membuat pengumuman hujung minggu ini, kata peguam perkapalan yang dilantik kerajaan, Sitpah Selvaratnam, kepada The Malaysian Insight.
Sitpah mengetuai pasukan undang-undang mewakili Putrajaya dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam urusan penjualan kapal persiar mewah itu.
Kerajaan menetapkan harga minimum AS$130 juta (RM543 juta), iaitu separuh daripada harga asalnya dan 31 Mac sebagai tarikh akhir mencapai perjanjian penjualan Equanimity.
Terdahulu, peguam mewakili 1MDB, Jeremy Joseph memberitahu The Malaysian Insight yang Putrajaya “sedang menilai” tawaran untuk Equanimity.
Kapal pesiar mewah itu dibeli oleh ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dengan harga AS$250 juta. Ia dipercayai dibeli dengan menggunakan dana 1MDB pada 2014.
Laporan terdahulu menyebut sekurang-kurangnya 20 pembeli dari Timur Tengah, Rusia dan beberapa negara Asia berminat mahu membeli Equanimity.
Minggu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Parlimen bahawa Putrajaya menghabiskan RM14.22 juta untuk menyelenggara kapal itu antara Ogos tahun lalu sehingga Mac.
Malaysia mengambil kapal sepanjang 91.5m itu dari Indonesia selepas ia ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.
Equanimity kini berlabuh di Langkawi.
Dibina oleh syarikat Oceano dari Belanda, Equanimity merupakan kapal mewah ke-54 terbesar di dunia dengan memiliki berat 2,998 tan.
Equanimity pernah memenangi Pertunjukan Kapal Mewah Monaco pada 2014 dan dihantar kepada Jho Low pada Jun tahun yang sama.
Kapal itu boleh dinaiki 26 tetamu dan mempunyai seramai 28 krew. – 1 April, 2019.
Komen