KERAJAAN Johor akan memindahkan kilang-kilang yang beroperasi di Pasir Gudang ke lokasi lain di sekitar negeri itu, kata Menteri Besar Osman Sapian.
Osman berkata, Pasir Gudang juga tidak lagi sesuai sebagai kawasan perindustrian memandangkan ia akan dinaik taraf menjadi bandar raya berikutan pertambahan kapasiti penduduk kawasan itu yang kini mencecah 600,000 orang.
“Kita sebenarnya memang tengah merancang (pindah lokasi kilang) kawasan itu sekarang ini akan dinaik taraf ke bandaraya.
“Bermakna sudah ramai penduduk tinggal di situ, sudah melebihi 600,000 orang, jadi tempat itu agak tidak sesuai untuk kita memberikan kelulusan untuk membina kilang-kilang,” kata Osman.
Menurutnya, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan adalah kawasan perindustrian di sekitar Kota Tinggi, Sedenak, Simpang Renggam dan Kluang.
“Jadi kita sedang merancang untuk mengenal pasti satu kawasan yang lain, mungkin jauh daripada Pasir Gudang yang sesuai untuk kita memberi kelulusan (bina kilang).
“Mungkin di sebelah kota Tinggi, atau di kawasan sebelah Kluang ataupun Sedenak, Simpang Renggam dan sebagainya,” kata Osman.
Tambahnya, pentadbiran kerajaan negeri juga menyedari insiden pembuangan sisa toksik di Sg Kim Kim, Pasir Gudang, bulan lalu dilakukan oleh kilang yang beroperasi sejak 30 tahun lalu.
“(Insiden) Sungai Kim Kim memang kesannya ialah daripada kilang-kilang yang sudah wujud lebih daripada 30 tahun dahulu.
“Ketika itu Pasir Gudang belum ada pembangunan yang besar, mungkin agak sesuai masa itu tetapi hari ini sudah tidak sesuai, kita nak pindahkan ke tempat lain yang lebih sesuai,” kata Osman lagi.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Pada bulan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan kerajaan negeri bertindak segera menutup kilang yang gagal mematuhi peraturan pengurusan keselamatan dan alam sekitar.
Baginda bertitah, langkah itu perlu bagi memastikan kejadian seperti pembuangan sisa kimia toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu tidak berulang lagi.
Lebih 4,500 keluarga terjejas akibat pencemaran sisa toksik di sungai berkenaan. Sebanyak 111 buah sekolah di seluruh Pasir Gudang diarah tutup apabila pelajar sekolah mula jatuh sakit.
Sebanyak kira-kira 20 tan bahan kimia dipercayai mungkin dibuang ke dalam sungai tersebut. – 1 April, 2019.
Komen