ISRAEL melonggarkan sekatan terhadap nelayan Palestin di Semenanjung Gaza dengan membenarkan mereka menangkap hasil laut sejauh 15 batu nautikal di Laut Mediterranean.
Keputusan itu dibuat selepas Hamas yang menguasai Gaza, berunding dengan Israel bagi melonggarkan beberapa sekatan bagi mengembalikan kenteteraman di wilayah itu.
“Kawasan menangkap ikan di Semenanjung Gaza diperluas sehingga 15 batu nautika (28 kilometer),” kata unit kementerian pertahanan Israel, COGAT.
Kesatuan nelayan Gaza berkata zon menangkap ikan itu ditetapkan enam batu nautika ke utara dan 15 batu nautika ke bahagian selatan, berdekatan sempadan Mesir.
Jarak itu antara yang paling jauh dibenarkan Israel sejak beberapa tahun lalu selepas rejim Zionis itu terlibat dalam tiga perang dengan Hamas dan mengenakan sekatan ke atas wilayah itu lebih dari sedekad.
Pada Ahad, Israel membuka semula laluan sempadan dengan Gaza untuk membolehkan penduduk Palestin mendapatkan bekalan keperluan.
Pembukaan semula sempadan itu dibuat selepas ribuan penduduk Palestin mengadakan bantahan di sempadan Gaza-Israel sempena ulang tahun pertama pertempuran yang berlaku di kawasan tersebut.
Empat rakyat Palestin maut dalam pertempuran dengan askar rejim, dan ketegangan diredakan dengan campur tangan Mesir yang mengetuai rundingan damai Israel-Hamas. – AFP, 1 April, 2019.
Komen