BEKAS menteri Kabinet Rafidah Aziz menegur jemaah menteri Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya terlalu ghairah mengumumkan dasar negara di media sosial.
Walhal, dasar yang diumumkan itu belum dibincangkan di Kabinet, kata Rafidah yang berkata tindakan seperti itu akan memberi imej buruk kepada kerajaan.
Jelasnya, menteri Malaysia tidak sepatutnya bersikap seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang gemar berinteraksi di Twitter.
“Awak bukan macam Donald Trump, umum dalam Twitter. Bagi penjelasan boleh tapi nak umum dasar jangan melalui sosial media.
“40 patah perkataan mana nak cukup (untuk penjelasan). Kalau silap tulis rakyat akan tanya, apa bodoh sangat (menteri ini),” katanya dalam satu program Bicara Minda di Karangkraf, Shah Alam.
Beliau berkata demikian apabila ditanya oleh moderator, wartawan Johan Jaafar mengenai prestasi kerajaan PH pada masa ini.
Walau tidak menamakan mana-mana anggota Kabinet, ia dipercayai merujuk kepada kontroversi terbaru yang timbul susulan pengumuman Teo Nie Ching berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Timbalan menteri pendidikan itu pada Jumaat lalu mengumumkan, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia bersetuju agar pemegang UEC boleh menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Pengumuman itu bermaksud UEC diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), yang menimbulkan kemarahan kelompok pro-Melayu.
Seorang lagi bekas menteri, Rais Yatim juga hari ini memberi amaran peguam negara bahawa pengiktirafan UEC itu akan membawa kesan politik negatif.
Selanjutnya, Rafidah dalam wacana hari ini menteri terbabit supaya berbincang dengan pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang pengumuman di media sosial.
“Sebelum nak umum bincanglah dulu, bincang dengan rakan, dengan pihak berkepentingan.
“Tapi bila dah keluar di Twitter, perdana menteri pula nak kena selamatkan awak. Orang macam saya kena bohong sunat pula.
“Sebab itu saya kata negeri tak boleh ditadbir menerusi media sosial,” katanya lagi. – 1 April, 2019.
Komen