PM Thailand bincang masalah jerebu dengan gabebor wilayah utara


Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha berkata beliau memerhati dari dekat masalah jerebu dan kebakaran hutan di wilayah berkenaan. – Gambar AFP, 1 April, 2019.

PERDANA Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-o-cha akan mengadakan pertemuan dengan para gabenor wilayah utara bagi membincang dan mencari jalan menangani masalah jerebu/asap di bahagian utara Thailand.

Prayuth berkata beliau memerhati dari dekat masalah jerebu dan kebakaran hutan di wilayah berkenaan dan berharap mesyuarat itu akan memberikannya maklumat langsung mengenai tahap jerebu yang tidak sihat.

“Masih banyak pembakaran terbuka dan kebakaran hutan sekalipun dilaksanakan langkah pencegahan.

“Kami akan bertindak tegas terhadap mereka melakukan pembakaran terbuka.

“Kami telah menahan banyak orang, namun masih banyak pembakaran terbuka dilaporkan. Ini bererti undang-undang tidak dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya kepada media di Bangkok.

Jabatan Meteorologi Thailand menyatakan musim panas di kebanyakan wilayah utara termasuk Chiang Mai dan Chiang Rai dijangka berlarutan hingga pertengahan Mei. 

Sementara itu, Gabenor Chiang Mai Supachai Iamsuwan berkata pelan pengurusan bencana peringkat wilayah telah disediakan dengan kerjasama dalam kalangan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan sejak 24 Mac untuk menambah baik keadaan sekitar khususnya di Chiang Mai, Chiang Rai dan Mae Hong Son.

Bulan lepas, Supachai mengumumkan langkah serta merta untuk menambah baik keadaan sekitar termasuk pewujudan zon keselamatan di setiap daerah bagi menyediakan tempat perlindungan sementara untuk kumpulan mudah terdedah kepada penyakit, dan larangan pembakaran terbuka hingga penghujung April dan respons pantas terhadap kebakaran hutan.

Sementara itu, bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) di Chiang Rai dicatat pada 289, Chiang Mai (251) dan Mae Hong Son (326) pada jam 3 petang (waktu tempatan). 

Harian tempatan berbahasa Inggeris,The Nation melaporkan seorang ahli akademik menggesa kerajaan mengisytihar keadaan darurat di Chiang Mai dan kebanyakan wilayah utara berikutan tahap asap/jerebu yang berbahaya.  

Witsanu Attavanich, pensyarah di Kasetsart University berkata beberapa bahagian Chiang Mai mencatatkan tahap PM2.5 melebih 700 µg/m³ pada pagi Sabtu. – Bernama, 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen