PEGAWAI Penyiasat ASP Liew Keng Joe berpendapat kecederaan pada tubuh anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bukan disebabkan oleh perusuh.
Liew, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, ketika inkues bagi menyiasat kematian Adib berkata ia berdasarkan gambar tubuh Adib yang dilihatnya.
Pegawai penyiasat kanan itu bertanggungjawab menyiasat kejadian yang menyebabkan Adib cedera semasa rusuhan di Kuil Maha Mariamman pada November lepas.
“Saya lihat gambar-gambar tubuh Adib dan saya lihat tubuhnya bengkak serta terdapat tanda-tanda lebam di sebelah kanan.
“Saya beritahu ketua saya, DSP Shan Gopal, iaitu ketua di bahagian siasatan jenayah mengenai gambar-gambar itu, yang saya tak fikir Adib diserang,” katanya.
Liew berkata Shan kemudiannya memberitahu akan mengarahkan pakar patologi menjalankan pemeriksaan forensik klinikal ke atas tubuh Adib.
Beliau juga mendedahkan polis menahan lebih daripada 70 suspek berhubung kes ini dan siasatan dibahagikan kepada tiga peringkat.
“Pertama, rusuhan itu sendiri. Peringkat kedua tertumpu kepada Adib dan ketiga mengenai serangan di bangunan ke atas One City,” kata pegawai itu.
Liew berkata, pada 12 Disember tahun lepas beliau melawat Adib di Institut Jantung Negara (IJN). Bagaimanapun, Adib tidak dapat menjawab soalan yang diberikan.
“Saya cuba tanya Adib kalau dia ingat apa yang berlaku, sama ada dia diserang. Dia tak jawab.
“Seorang jururawat bertanya kepadanya kalau dia mahu tulis di atas papan putih. Adib geleng kepala,” kata Liew.
Tambahnya, polis juga merakam 61 kenyataan berkaitan kes itu.
“Kami rakam kenyataan dari 14 anggota bomba; tujuh doktor dari Pusat Perubatan Subang Jaya, Hospital Kuala Lumpur dan IJN. Keterangan dari sebelas anggota polis juga direkodkan.
“Kami juga merakam kenyataan dari 29 orang awam,” katanya.
Inkues akan bersambung pada Rabu. – 1 April, 2019.
Komen