SPRM pertahan beri ganjaran kepada penjawat awam lapor rasuah


Diyana Ibrahim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan tindakannya memberi wang ganjaran kepada penjawat awam, menyifatkannya ia sebagai penghargaan kepada mereka yang berani menolak rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad berkata sepatutnya pengkritik melihat usaha yang dilakukan badan pencegahan rasuah itu secara menyeluruh dan tidak terhad kepada inisiatif saja.

“Jangan beri komen terhad kepada satu inisiatif seolah itu saja usaha yang kita lakukan untuk cegah rasuah. Banyak lagi aktiviti dan kempen yang dilakukan SPRM .Kena tengok secara keseluruhan.

“Salah ke kita bagi ganjaran kepada orang yang tolak rasuah. Kita beri penghargaan kepada orang yang bersih. Kita pandang tinggi pada orang ini,” katanya pada sidang media selepas program perluaskan kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pemberian insentif SPRM kepada penjawat awam sekiranya mereka melaporkan rasuah dan kes itu berjaya diselesaikan.

Pada masa sama beliau juga menolak dakwaan yang penjawat awam takut untuk melaporkan rasuah walau diberi wang ganjaran.

Katanya perkara tersebut tidak wujud kerana penjawat awam sedia maklum akan hak mereka yang akan dilindungi undang- undang sebagai saksi.

“Mereka ini bukan tak buat laporan, kita terima banyak maklumat daripada penjawat awam cuma mereka tidak buat aduan. Dan ada pulak yang tak nak wang ganjaran itu,” katanya.

Sebelum ini insentif yang digelar “ringgit ke ringgit” itu diperkenalkan sejak 2011 memberikan ganjaran minimum sebanyak RM500 sebagai usaha membanteras rasuah di kalangan penjawat awam.

Bagaimanapun dengan usaha terbaru SPRM menaikkan wang ganjaran itu setanding dengan jumlah rasuah yang dilaporkan dan disiasat.

Selain itu beliau juga membangkitkan komitmen berterusan SPRM membanteras rasuah.

Katanya usaha giat SPRM kini membuahkan hasil kerana badan itu semakin ditakuti pelaku rasuah.

“Saya yakin dan percaya apabila saya berjumpa orang ramai mereka menyatakan jumlah rasuah berkurangan. Jadi kita nampak ia memberi kesan positif.”

Untuk itu beliau juga yakin bahawa akan berlakunya peningkatan dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah yang dijangka keluar pada tahun hadapan.

“Saya yakin indeks rasuah kita tahun ini akan lebih baik.”

Pada 2016,  menurut Transparency International-Malaysia (TI-M),  negara berada di tangga ke-55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan 3 negara teratas dalam kalangan negara Asean. – 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen