RETORIK agama dan kaum yang digunakan PAS dan Umno tidak akan membantu Malaysia maju, kata P Waytha Moorthy.
“Rakyat di peringkat akar umbi bersatu padu dan mereka faham isu ini. Hanya ahli politik yang mencetus perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu di lobi Parlimen hari ini.
Berkenaan komen Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob iaitu Umno dan PAS sedang “berjihad” untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada satu program di Sabak Bernam semalam, Waytha Moorthy berkata kenyataan Ismail Sabri itu “tidak membantu”.
“Ada banyak perkara yang perlu dilakukan untuk negara dan ini langsung tidak membantu.
“Lebih baik kita perbaiki ekonomi dan satukan rakyat, daripada memberi gelaran.”
Pada satu program anjuran bersama PAS-Umno yang turut dihadiri oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai speaker utama, Ismail Sabri berkata kerjasama antara kedua-dua parti itu adalah satu satu jihad untuk menentang orang bukan Islam.
Di Parlimen hari ini, beliau berkata kerajaan PH adalah kerajaan anti-Islam kerana membenarkan perarakan LGBT di Kuala Lumpur pada bulan lepas. – 1 April, 2019.
Komen