Jihad bermaksud perjuangan, kata Ismail Sabri


Chan Kok Leong

Ismail Sabri ditanya mengapa beliau menyifatkan kerjasama Umno-PAS jihad untuk menumbangkan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

ISMAIL Sabri mempertahankan kenyataan menyeru “jihad” yang diucapkannya semasa program anjuran bersama PAS-Umno di Sabak Bernam malam tadi.

“Kenapa awak cakap macam itu? Tadi saya beritahu jihad itu maksudnya perjuangan. Bila saya kata jihad memerangi orang tengah, tak ada orang tengah yang kena tembak. Tetapi kita berjuang bagi pihak nelayan dan petani.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, perpaduan umat Islam bermakna perpaduan semua, bukan hanya orang Islam, ia dari perspektif lebih besar.

“Dan setiap kali kita cakap mengenai hal ini, kita bercakap menyatupadukan umat Islam tanpa meminggirkan orang lain.

“PAS dan Umno dah buktikan tiada kaum akan didiskriminasi,” kata ketua pembangkang itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ismail ditanya mengapa beliau menyifatkan kerjasama Umno-PAS jihad untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

Perkataan jihad yang berasal dari Bahasa Arab bermaksud perjuangan. Di dalam konteks Islam, ia bermaksud perjuangan seseorang Muslim memperbaiki diri secara rohani menerusi doa dan berkelakuan baik.

Jihad juga boleh membawa maksud perjuangan menentang orang-orang yang mengancam agama Islam. 

Ahli Parlimen Bera itu juga mempertahanan PAS dengan berkata parti itu adalah sebuah parti “sederhana”.

“Semasa PAS bersama DAP dulu, DAP sokong PAS. Tak timbul pun isu PAS parti ekstrem ketika itu.

“PAS dah buktikan di Kelantan (lima penggal), iaitu tidak ada isu berkenaan kaum dan agama lain.

“Patung Buddha terbesar di Kelantan. Di Kelantan ada kuil Siam. Tidak ada alasan kaum lain takut dengan perpaduan umat Islam,” kata Ismail.  – 1 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen