Pakatan anti-Islam kerana benarkan 'perarakan LGBT', kata Ismail Sabri


Chan Kok Leong

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mendakwa kerajaan Pakatan Harapan anti-Islam kerana membenarkan perarakan LGBT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

MEMBENARKAN perarakan golongan LGBT adalah bukti kerajaan baharu anti-Islam, kata Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

“Mereka membenarkan LGBT dan ini menyakiti umat Islam. Malah dalam Kanun Keseksaan, homoseksual dilarang. Dalam Islam, hubungan seks sejenis juga sangat jelas dilarang. Tetapi, ‘perarakan’ ini dibenarkan.

“Bahkan Kabinet turut membahaskan mana tandas yang mereka (LGBT) patut digunakan. Isu ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata terdapat juga semakin ramai orang menghina Islam di media sosial sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan tahun lepas.

“Isu menghina Nabi secara terbuka berlaku setiap hari. Mungkin kerana pelaku ini berasa merasa mereka akan dilindungi (oleh kerajaan baharu),” kata ahli Parlimen Bera itu.

Tidak jelas “perarakan LGBT” mana dimaksudkan Ismail Sabri yang dibenarkan oleh kerajaan baharu.

Bagaimanapun, perarakan Hari Wanita Sedunia di Kuala Lumpur bulan lalu berubah menjadi perhimpunan hak LGBT apabila beberapa aktivis melaungkan slogan dan membuat ucapan menggesa pengiktirafan terhadap komuniti itu.

Selepas perarakan itu, penganjur disiasat oleh pihak polis, manakala Menteri Hal Ehwal Islam, Dr Mujahid Yusof Rawa mengkritik pihak penganjur kerana membenarkan acara itu digunakan untuk mempertahankan hak LGBT.

Bagaimanapun. Barisan Nasional dan PAS menggunakan acara itu untuk menyokong naratif yang PH menggalakkan aktiviti LGBT. – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen