TINDAKAN Umno dan PAS menggunakan retorik perkauman dan agama bertujuan menakutkan orang Melayu Islam, kata Muhyiddin Yassin.
“Mewujudkan rasa takut yang tidak berasas di kalangan orang Melayu Islam. Ia tidak baik untuk negara ini,” kata menteri dalam negeri kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Presiden Bersatu itu mengatakan Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan empat parti dan keputusan dibuat bersama.
“Semua isu (sama ada menteri itu adalah daripada DAP atau tidak) dibincangkan bersama dalam Kabinet sebelum keputusan dibuat,” katanya menjawab tuduhan Umno-PAS bahawa kerajaan PH dikawal oleh DAP.
Beliau berkata ini adalah pendirian yang diputuskan diambil oleh Umno dan PAS.
“Ini adalah sebahagian daripada perkara mereka sekarang. Semuanya berkaitan bangsa dan agama sehingga mereka mewujudkan kebimbangan tidak perlu di kalangan rakyat.
“Kita menekankan keperluan semua rakyat Malaysia untuk mempercayai dan menghormati satu sama lain. Menggunakan DAP sebagai ‘punching bag’ tidak boleh diterima,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin bertindak balas terhadap kenyataan Naib Presiden Umno Ismail Sabri pada acara Umno-PAS malam tadi di mana beliau menyifatkan kerjasama politik Umno dan PAS sebagai “jihad” untuk menggulingkan kerajaan anti-Islam. – 1 April, 2019.
Komen