Kecederaan Adib tidak sepadan tanda serangan fizikal, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Pakar forensik Dr Mohd Shah Mahmood berkata jika benar Muhammad Adib Kassim diserang semasa rusuhan kuil Seafield, beliau akan mengalami 70% kecederaan fizikal di kepala, dada dan perut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

CORAK kecederaan dialami oleh anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak menunjukkan beliau menjadi mangsa serangan fizikal, mahkamah koroner diberitahu hari ini.

Pakar forensik Dr Mohd Shah Mahmood berkata jika Adib diserang semasa rusuhan kuil Seafield, beliau akan mengalami 70% kecederaan fizikal di kepala, dada dan perut.

“Dalam satu kajian yang dilakukan selama lima tahun, seorang mangsa serangan akan mengalami 70% kecederaan pada kepala, dada dan perut.

“Satu lagi kajian juga menunjukkan hasil yang sama di mana 67% daripada serangan (tubuh) akan menyebabkan kecederaan pada kawasan muka dan dada.

“Dalam kes Adib, pola kecederaan yang dialami Adib tidak sepadan dengan tanda serangan fizikal. Terdapat jurnal yang diterbitkan untuk menyokong penilaian perubatan kami,” kata Shah.

Bercakap lebih lanjut, Shah berkata tiga kecederaan bermula dari pinggang belakangnya, patah tulang rusuk dan lebam di dada kanannya berlaku hanya dalam masa enam saat.

“Berdasarkan video yang kita lihat dan penilaian dibuat pasukan saya, berpendapat fasa pertama kecederaan kedua dan ketiga berlaku dalam tempoh maksimum enam saat. Tiga saat paling cepat.”

“Ia berpadanan dengan jangka masa pendek pada video yang kita lihat beberapa hari lalu yang menunjukkan jentera Fire Rescue Tender (FRT) mengundur dan melanggar kenderaan EMRS,” jelasnya.

Inkues ini akan diteruskan pada pukul 3 petang dengan saksi lain. – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen