Tiada rancangan laksana 'lese majeste', kata Muhyiddin


Chan Kok Leong

Kerajaan tidak berhasrat untuk mempunyai 'lese majeste' kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk melindungi institusi diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

MALAYSIA tiada rancangan untuk mempunyai “lèse majesté” kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi, kata Muhyiddin Yassin.

“Kita tiada rancangan bagi undang-undang khas untuk monarki seperti Thailand. Undang-undang kita sudah mencukupi, walaupun kita sedang mengkaji keperluan untuk memperkukuhkan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” kata menteri dalam negeri kepada Dewan Rakyat hari ini.

Terdapat peruntukan dalam Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan untuk melindungi monarki daripada kritikan dan cemuhan, katanya.

“Kabinet akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk meminda undang-undang yang ada,” kata Muhyiddin.

Beliau menjawab pertanyaan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands-BN) mengenai sama ada Malaysia akan mempunyai undang-undang lése majesté untuk melindungi raja-raja Melayu susulan serangan terhadap institusi diraja.

Terdahulu, Muhyiddin memberitahu Dewan bahawa 11 rakyat Malaysia didakwa menghina monarki.

“Antara 2012 dan 2019, polis menyiasat 97 kes individu menghina monarki di media sosial. Sebelas sudah didakwa.

“Antara langkah yang diambil untuk membendung masalah ini ialah mewujudkan lebih banyak kempen sensitiviti awam terhadap sentimen perkauman, agama dan antimonarki. Kerajaan juga melihat cara mengukuhkan AKM dan menubuhkan lebih banyak unit pemantauan media sosial di peringkat daerah,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata tindakan hanya akan diambil terhadap pembangkang yang melemparkan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam terhadap kerajaan jika ia mengancam ketenteraman awam.

“Ini adalah normal baru dalam politik Malaysia. Tetapi kerajaan ini hanya akan mengambil tindakan terhadap mereka jika ia mengancam keamanan dan keharmonian masyarakat.”

Beliau menjawab pertanyaan tambahan oleh Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH) mengenai sama ada kerajaan akan bertindak terhadap pembangkang kerana mendakwa kerajaan adalah anti-Melayu dan anti-Islam. – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen