
PROJEK pembinaan tembok di sempadan Thailand-Malaysia hanya akan dimuktamadkan selepas pilihan raya negara itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu Dewan Rakyat hari ini.
“Kita pada dasarnya bersetuju untuk meneruskan projek itu pada mesyuarat jawatankuasa sempadan Thailand-Malaysia pada Julai lalu tetapi ia hanya boleh dimuktamadkan selepas pilihan raya Thailand,” kata timbalan perdana menteri.
“Tembok itu boleh dibina, tertakluk kepada spesifikasi teknikal dan implikasi kewangan,” katanya.
Wan Azizah berkata demikian ketika memberi respons kepada Shahidah Kassim (Aran-BN) yang bertanya sama ada Malaysia dan Thailand akan membina tembok sepanjang sempadan Perlis-Kelantan.
Projek tembok sempadan disahkan pada Mac 2018 oleh pentadbiran Barisan Nasional.
Tembok sejauh 11km itu akan didirikan sepanjang Dan Nok-Dan Sadao di wilayah selatan Thailand, Songkla dan bertujuan untuk membendung kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram.
Sempadan Thailand-Malaysia adalah sepanjang 640km.
Wan Azizah berkata kos pembinaan tembok mahal pada harga RM1 juta per km dan ada cara lain untuk menghalang aktiviti haram di sepanjang sempadan.
“Malah Amerika Syarikat juga tidak dapat berjaya mendapatkan kelulusan Kongres untuk membina temboknya,” kata Wan Azizah sebagai jawapan kepada Nor Azrina Surip (Merbok-PH) mengenai sama ada projek itu boleh dilaksanakan atau tidak. – 1 April, 2019.
Komen