IA memerlukan masa bagi beliau untuk menerima hakikat tidak akan dapat melihat kawan, ahli keluarga dan langit yang membiru lagi selepas kehilangan penglihatan 16 tahun lalu.
Berada dalam keadaan koma selama 10 hari disebabkan demam panas, Mohd Arif Mahadhir kembali sedar dengan pandangan hampir gelap sepenuhnya.
Sebenarnya, semasa berusia 8 tahun beliau sudah mempunyai visi agak kabur tetapi dari semasa ke semasa, cahaya yang mampu dilihatnya semakin mengecil hingga hampir 95% dan menyebabkan penglihatannya semakin teruk.
Tetapi Arif sedar ia tidak akan menghalangnya daripada mencapai sesuatu yang mustahil – bermain bola sepak.
Kini, pada usia 24 tahun, Arif bukan sahaja mewakili negara dalam pasukan bola sepak buta yang pertama di Malaysia tetapi membimbing pasukannya memperoleh pingat emas pertama pada Sukan Para Asean pada 2015.
Mempelajari sukan ini dalam usia agak lewat, ketika berusia 17 tahun, Arif yang juga pelajar jurusan pengajian perniagaan UiTM, kini berlatih lima hari seminggu.
Beliau mengambil cuti pengajian selama setahun untuk menumpukan perhatian kepada usaha memperoleh pingat emas sekali lagi.
Beliau berkata, biasanya mereka berlatih pada hujung minggu sahaja, tetapi sejak Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih, latihan dijalankan sepanjang minggu.

“Bola sepak sememangnya minat mendalam saya. Saya sukakan bola sepak dan rakan sepasukan saya. Ia berbeza daripada sukan lain. Menjadi buta dan bersukan yang memerlukan kerja berpasukan membuat kita berasa hidup lebih bermakna dan menguatkan persahabatan kami,” kata Arif kepada The Malaysian Insight ketika berehat semasa sesi latihan.
Sahabat dan rakan sepasukannya, Alhakim Norddin, 21, turut menyatakan sentimen yang sama.
“Kami berharap memenangi perlawanan sekali lagi dan sedang membuat persediaan untuk mengukuhkan pasukan kami pada Sukan Para Asean 2017,” katanya.
Semasa temubual berakhir, Arif kembali di bangku simpanan bagi mendengar jurulatih Sunny Shalesh melaungkan arahan kepada pasukan semasa sesi latihan di Padang MSN di Bukit Jalil.
Apakah bola sepak buta?
Menurut Sunny, bola sepak buta tidak berbeza daripada bola sepak arus biasa.
Memandangkan pemain tidak dapat melihat, bunyi dan visualisasi menjadi elemen paling penting. Kunci kepada kejayaan terletak pada komunikasi yang baik.
“Para pemain sebenarnya bergantung kepada galas bebola dalam bola…bunyi daripadanya menghasilkan gerincing. Jadi, mereka mengejar bola dan berkomunikasi sesama sendiri,” katanya.
Menggunakan istilah khas di padang, pemain berkomunikasi antara satu sama lain dan menggunakan strategi tertentu untuk memenangi perlawanan.
Manakala padang adalah lebih kecil berbanding padang bola sepak bersaiz biasa, dan permainan ini dimainkan empat pemain di padang dengan seorang penjaga gol. Permainan masih sangat mencabar.
Selain bunyi bola dan rakan sepasukan mereka, pasukan cacat penglihatan perlu mengatasi penjaga gol yang mempunyai penglihatan normal semasa cuba menutup bunyi persekitaran bagi mengelakkan kekeliruan.
“Mereka boleh berlari dengan bola, menyepak, melecek, menggiring bola, mengambil sudut, sepakan percuma dan lain-lain.
“Cuma dalam bola sepak biasa anda boleh melihat tetapi bagi bola sepak buta anda hanya boleh mendengar.”
Beliau juga menggambarkan teknik dengan kata-kata yang akan diserap pemain dan menggambarkannya dalam fikiran mereka.
“Mereka akan memetakan pergerakan dalam fikiran dan menterjemahkannya melalui tindakan di padang,” kata Sunny.
Kebanyakan pemain tidak dilahirkan buta kecuali satu atau dua orang.
“Ini dapat membantu mereka menggambarkan proses yang lebih baik,” kata Sunny.
Perjalanan sukar
Permulaan bagi pasukan ini bukanlah dalam keadaan yang baik seperti sekarang. Tidak banyak sokongan diterima ketika Sunny memulakan sukan ini dengan isterinya pada 2009.
Minat Sunny membina program rekreasi ini bermula apabila melihat adiknya yang menghidap cerebral palsy, menunjukkan minat dalam bola sepak.
“Saya akan membaling bola dan beliau akan menendangnya kembali. Beliau sukakannya. Jadi saya fikir mengapa tidak buat program bola sepak bagi orang kurang upaya. Dari situ, kami membangunkan pasukan bola sepak buta,” kata Sunny.
_graphic-what_is_5-a-side_blind_footbal_080417_daniel_.jpg)
Skeptikal masyarakat
“Mereka fikir ia adalah satu pembaziran masa mengajar orang kurang upaya dan orang buta bagaimana bermain bola sepak. Jadi saya mengambil cabaran itu dan lihat di mana kita berada sekarang,” katanya.
Pada peringkat awal, apabila orang bertanya bagaimana untuk membantu, beliau akan meminta makanan dan benda kecil yang pasukan perlukan untuk latihan.
“Jika mereka tidak mempunyai kasut, kami mengumpul wang dan membelikan mereka kasut. Jika mereka tidak mempunyai pengangkutan, kami mengumpul wang untuk mendapatkan mereka mengangkut berulang-alik ke tempat latihan. Kami membuat lakukan. Kami berjaya mengelolakannya. Kemudian bank CIMB datang,” kata Sunny.
Ia adalah pada 2011 apabila mereka berjaya mendapatkan dana kecil daripada bank untuk menjalankan Pan Disable Club dan juga menjalankan latihan bagi pasukan bola sepak buta.
“Bank melalui program tanggungjawab sosial korporatnya membiayai kami dalam bentuk peralatan dan kemudahan untuk berlatih. Kos lain dibiayai sendiri dan sumbangan daripada individu,” kata Sunny.
Selepas enam tahun bersusah payah, pasukan bola sepak itu kini di bawah jagaan MSN.
Ia diserap ke dalam Kita Juara, satu program yang bertujuan membawa Malaysia ke puncak kedudukan pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur dan Asean Para Games tahun ini.
“Kami akhirnya mempunyai program sepenuh masa dan pembiayaan. Dan berharap dapat mempertahankan emas yang kami menangi di Singapura pada 2015,” kata Sunny. – 9 April, 2017.
Komen