Polis guna gas pemedih mata henti protes di Sudan


Protes kali pertama tercetus di Sudan pada 19 Disember di bandar Atbara susulan keputusan kerajaan menaikkan harga roti tiga kali ganda. – Gambar EPA, 1 April, 2019.

PASUKAN keselamatan Sudan melepaskan gas pemedih mata semalam terhadap sejumlah besar penunjuk perasaan yang berdegil dan terus berdemonstrasi di Khartoum dan Omdurman walaupun kerajaan mengumumkan darurat.

Penunjuk perasaan yang turut menyebabkan kematian dan keganasan menggegar Sudan sejak lebih tiga bulan lalu, berang dengan salah urus kerajaan menyebabkan masalah ekonomi dan harga makanan melonjak, selain kekurangan bekalan petrol dan mata wang asing.

Melaungkan slogan “bebas, aman, adil”, penunjuk perasaan berhimpun di Omdurman dan satu lagi daerah di bandar itu, kata saksi yang turut berkata mereka kemudian dihentikan oleh polis perusuh dengan gas pemedih mata.

Penunjuk perasaan turut berdemonstrasi di daerah timur Khartoum iaitu di Burri, yang sering menjadi lokasi perkumpulan anti kerajaan, dan di pasar sayur di selatan ibu kota, menurut saksi.

Polis perusuh digerakkan ke Burri untuk mengawal tunjuk perasaan.

Lewat petang semalam, polis berkata ia berjaya menyuraikan “perhimpunan haram” di Khartoum dan beberapa bandar lain dengan gas pemedih mata.

“Sebahagian penunjuk perasaan ditahan dan kes difailkan terhadap mereka,” kata jurucakap polis Jeneral Hashim Abdelrahim.

Protes kali pertama tercetus di Sudan pada 19 Disember di bandar Atbara susulan keputusan kerajaan menaikkan harga roti tiga kali ganda.

Ia kemudian dengan cepat menjadi demonstrasi di seluruh negara, menggesa peletakan jawatan Presiden Omar al-Bashir yang dilantik selepas rampasan kuasa pada 1989.

Bashir masih mengambil sikap berdiam diri selepas tindakan kekerasan diambil tetap gagal mengakhiri tunjuk perasaan, dan melaksanakan darurat selama setahun di mana Parlimen kemudian memendekkannya kepada enam bulan. – AFP, 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen