SEKUMPULAN lelaki bersenjata disyaki gang terbabit dalam aktiviti mencuri lembu di selatan Nigeria, menyerang sebuah kampung di Zamfara menyebabkan 10 terbunuh, kata jurucakap polis.
Lelaki bersenjata menunggang motosikal menceroboh ladang bawang pada Sabtu, berhampiran kampung di Kware, daerah Shinkafi dan menembak mati petani yang sedang bekerja, kata Mohammed Shehu.
“Kami terima laporan tentang serangan di Kware oleh penjahat di mana 10 terbunuh.
“Anggota keselamatan digerakkan ke kawasan terbabit untuk mengawal keadaan,” katanya.
Beliau tidak memberikan butiran sebab serangan, tetapi penduduk berkata ia mungkin kerana balas dendam susulan operasi ketenteraan baru-baru ini terhadap perompak di kawasan itu.
Minggu lalu, askar dihantar ke negeri itu untuk memerangi geng penjenayah yang menyerbu dua kem latihan di utara dan barat daya Nigeria.
Pada awal Mac, 30 terbunuh dalam serangan balas susulan serbuan tentera terhadap perompak terbabit.
Masyarakat petani dan penternak di Zamfara sekian lama diserang oleh geng yang menyerbu kampung-kampung, mencuri ternakan dan menculik penduduk untuk tebusan.
Presiden Muhammadu Buhari yang baru dilantik turut dikritik kerana gagal melindungi rakyat dan harta di wilayah itu. – AFP, 1 April, 2019.
Komen