PAS-Umno mesti lawan golongan 'macam Yahudi', kata Hadi


SM Amin

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu dan Umno perlu menentang golongan yang cuba menggagalkan usaha penyatuan umat Islam di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

PAS dan Umno perlu menentang golongan “macam Yahudi” yang cuba menggagalkan usaha penyatuan umat Islam di negara ini, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata kerjasama Umno dan PAS hanyalah untuk menyelamatkan negara dan bukannya melancarkan perang kepada orang bukan Islam seperti yang didakwa oleh DAP.

“Lepas itu bila Umno-PAS hendak bersatu, dituduh macam hendak berperang dengan kaum lain. Ini lagi teruk. Macam orang Yahudi yang tidak mahu orang Islam bersatu masa zaman nabi.

“Inilah penyakit yang mesti kita lawan. Mari kita bersatu padu, biar musuh pergi jahanam,” katanya dalam program Pidato Himpunan Ummah Selangor di Sabak Bernam malam tadi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Umno dan Pas sedang “mengisytiharkan perang” terhadap masyarakat bukan Melayu.

Lim kemudiannya mengubah kenyataannya itu dan frasa “pengisytiharan perang” ditukar kepada “menyasarkan”.

Selain dakwaan hendak “berperang” dengan kaum lain, Hadi juga menafikan kerjasama dua parti terbesar Melayu Islam itu akan menjadikan negara seperti pemerintahan Taliban kerana terdapat perbezaan yang besar corak pemerintahan di Afganistan dan Malaysia.

“Taliban ini pakai Mazhab Hanafi, orang perempuan tidak boleh mengaji sekolah, tiada pilihan raya. Kita PAS buka sekolah, masuk pilihan raya, lain. Tidak betul banding dengan Taliban,” katanya.

Hadi berkata orang bukan Islam tidak perlu risau dengan kerjasama Umno dan PAS kerana Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil dengan semua kaum.

“Sekarang timbul kesedaran yang mewajibkan umat Islam perlu bersatu. Pas-Umno perlu bersatu dan orang bukan Islam jangan takut. Kami adil untuk mereka. Dalam sejarah dunia yang mampu menyatukan masyarakat majmuk hanya Islam.

“Sebab itu kita hendak menyatukan orang Islam dulu. Masyarakat lain jangan bimbang, kita tidak ketepikan. Hendak selesaikan masalah negara orang Melayu mesti kuat,” katanya. – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen