Tarikh akhir sudah berlalu, Equanimity masih belum dijual


Bede Hong

Equanimity merupakan kapal mewah ke-54 terbesar di dunia dengan memiliki berat 2,998 tan dan menelan kos penyelanggaran sebanyak RM14.22 juta sejak Ogos tahun lalu hingga Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

PUTRAJAYA masih belum berjaya menjual kapal mewah Equanimity selepas beberapa tawaran tidak memenuhi harga minimum yang diletakkan iaitu AS$130 juta (RM543 juta), separuh daripada harga asalnya.

Kerajaan menetapkan 31 Mac sebagai tarikh akhir bagi mencapai perjanjian penjualan Equanimity, tetapi kapal itu masih belum dijual walaupun terdapat beberapa tawaran.

Peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jeremy Joseph memberitahu The Malaysian Insight bahawa Putrajaya masih meneliti tawaran tersebut.

Katanya satu pengumuman berhubung kapal mewah itu akan dibuat tidak lama lagi.

Peguam perkapalan yang dilantik kerajaan, Sitpah Selvaratnam yang mengetuai pasukan perundangan untuk Putrajaya dan 1MBD bagi memproses penjualan kapal itu, tidak dapat dihubungi.

Kapal mewah itu dibeli oleh ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, dengan harga AS$250 juta, dipercayai menggunakan dana 1MDB pada 2014.

Malaysia mengambil kapal sepanjang 91.5m itu dari Indonesia selepas ia ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.

Equanimity kini berlabuh di Langkawi.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan berhasrat untuk menjual kapal itu secepat mungkin kerana kos penyelenggaraannya mencecah RM2 juta sebulan.

Laporan terdahulu menyebut terdapat sekurang-kurangnya 20 pembeli dari Timur Tengah, Rusia dan beberapa negara Asia berminat membeli Equanimity.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Parlimen bahawa Putrajaya menghabiskan RM14.22 juta untuk menyelenggara kapal itu antara Ogos tahun lalu sehingga Mac.

Lim dalam jawapan bertulis itu berkata sebanyak RM11 juta digunakan dari Ogos hingga Disember tahun lalu dan RM3.22 juta dari Januari hingga Mac tahun ini.

Kos itu termasuk penyelenggaraan, membaiki, minyak, bayaran guaman, insurans dan kos melibatkan penjualan kapal itu.

Tugas penyelenggaraan dijalankan oleh Wilson Yacht Management Ltd.

Lim berkata proses penjualan kapal itu kini memasuki fasa kedua perjanjian peribadi atau jualan langsung dan dijangka selesai pada 31 Mac.

Fasa pertama penjualan dijalankan menerusi proses pembidaan yang berakhir pada hujung tahun lalu dan gagal mencapai harga yang ditetapkan.

Hasil jualan kapal yang dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA), akan diletakkan dalam akaun amanah tetap, kata Peguam Negara Tommy Thomas pada tahun lalu.

Dibina oleh syarikat Oceano dari Belanda, Equanimity merupakan kapal mewah ke-54 terbesar di dunia dengan memiliki berat 2,998 tan.

Equanimity pernah memenangi Pertunjukan Kapal Mewah Monaco pada 2014 dan dihantar kepada Jho Low pada Jun tahun yang sama.

Kapal itu boleh dinaiki 26 tetamu dan mempunyai seramai 28 krew. – 1 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen