Biar PAS-Umno serasi, baru bincang pilihan raya, kata Najib


SM Amin

Keserasian antara PAS dan Umno perlu diperkemas sebelum bekerjasama dalam pilihan raya, kata Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2019.

PAS dan Umno perlu meningkatkan keserasian di kalangan jentera kedua-dua parti untuk memastikan keputusan parti dapat dilaksanakan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Perkara itu perlu diperkemaskan terlebih dahulu sebelum dapat bekerjasama dalam pilihan raya, katanya kepada The Malaysian Insight dalam kunjungannya ke Selangor hari ini.

“Sekarang ini tumpuan kita adalah untuk menjadikan jentera kita di peringkat bahagian dan akar umbi ini serasi antara satu sama lain. Itu yang paling kita utamakan.

“Soal pilihan raya akan datang kita bincang kemudian. 

“Kalau jentera tidak serasi, apa-apa yang diputuskan oleh pimpinan atasan pun nanti tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perkara itu diulanginya dalam ucapan kepada pemimpin dan penyokong kedua-dua parti dalam pertemuan di Kuala Selangor hari ini.

Agenda sama dibawanya ke Terengganu minggu lalu, negeri pertama yang dikunjunginya selepas mahkamah mengumumkan, perbicaraan kes yang dihadapinya akan bermula pada minggu depan.

Seterusnya, Najib ke Kelantan pada Jumaat. Ia dilihat penganalisis sebagai usaha mendekatkan hubungan penyokong akar umbi PAS-Umno yang renggang disebabkan sejarah politik lalu.

Di Selangor hari ini, kempen Najib juga melibatkan acara-acara serupa seperti di Terengganu dan Kelantan.

Pada pagi beliau bersarapan pagi dengan penyokong parti, bersembang santai dan beramah mesra dengan masyarakat di pasar malam dan duduk sepentas dengan pemimpin PAS dan Umno.

Kerusi di hadapan pentadi itu pula diisi para penyokong dan pemimpin akar umbi kedua-dua parti yang sebelum ini berseteru sejak sekian lama.

Ketika diselidik, kalangan pemimpin PAS yang hadir itu masih marah dengan tindak-tanduk pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) selama mentadbir negara sehingga kalah 9 Mei lalu.

Umno dan PAS membentuk kerjasama dalam beberapa PRK lalu, dan kedua-dua parti itu mengorak jalinan yang lebih kukuh bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2019.

Namun, ada yang menyatakan kesediaan untuk melupakan segala masalah dan salah laku tersebut demi perpaduan Melayu dan Islam.

Seorang ahli PAS Kuala Selangor, Yusuf Salleh, 74 berkata, Umno dan PAS perlu bersatu untuk membela nasib orang Melayu dan Islam yang didakwanya sedang ditindas dan diperlekeh ketika ini.

“Kalau ikut hati, memang marah juga dekat Umno dengan apa yang mereka buat selama ini tetapi sekarang ini ada isu yang lebih penting.

“Suka atau tidak itu soal lain yang penting Melayu itu kena bersatu. Kalau bukan sekarang, takut tidak sempat dan kita akan terus ditindas dan agama diperlekeh,” dakwa pesara polis itu.

Katanya, beliau beranggapan demikian apabila melihat tindak tanduk kerajaan dalam mengurus isu seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sependapat dengannya seorang pemimpin Pemuda PAS cawangan, Hisham Abdullah yang berpendapat ahli parlimen Melayu Islam daripada parti kerajaan gagal mempertahankan isu Melayu dan Islam.

“Ahli Parlimen Islam dari Amanah PKR Bersatu semua diam sahaja (dalam isu Melayu dan Islam). Kita tidak tahu kenapa mereka jadi begitu. 

“Cara yang terbaik sekarang Umno dan PAS perlu bekerjasama untuk lawan Pakatan Harapan,” tegas pemimpin cawangan Kampung Banting Sabak Bernam itu.

Beliau juga maklum bahawa kehadiran Najib itu bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama Umno dan PAS di peringkat bawah dalam menganjurkan program bersama.

Ditanya lanjut, beliau berpendapat hubungan kedua-dua parti di kawadan itu kini “sangat baik” dan ahli PAS akan menyertai program Umno dan begitu juga sebaliknya.

“Sudah tidak ada masalah. Kita tidak pernah jangka akan lihat fenomena seperti ini dan kita sudah selesa dengan keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat apabila PAS dan Umno mengumumkan kerajasama secara rasmi pada awal bulan ini.

“Selepas Umno dan PAS mengumumkan kerjasama secara rasmi, kita di peringkat Kawasan ini terus ikut. 

“Lebih memudahkan untuk kita mengatur program dan gerak kerja bersama contohnya program ‘Pidato Himpunan Ummah Selangor’ malam ini,” ujarnya.

Pidato berkenaan merupakan acara kemuncak hari ini dan menampilkan presiden PAS Abdul Hadi Awang dan juga Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob. – 31 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen