KUMPULAN hak asasi manusia Filipina mengecam tindakan polis membunuh 14 petani yang didakwa menjalankan operasi komunis di tengah negara itu.
Polis berkata 14 lelaki tersebut melepaskan tembakan, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan.
Namun kumpulan hak asasi berkata golongan petani itu menggunakan hak mereka untuk mempertahankan tanah.
Mereka merupakan mangsa terbaharu operasi ganas Presiden Rodrigo Duterte untuk memerangi kumpulan pemberontak komunis.
Kerajaan Duterte membatalkan rundingan damai dengan pemberontak komunis dan mengarahkan tentera untuk menghapuskan ancaman tersebut.
Keganasan terbaharu itu berlaku di tiga lokasi berasingan di pulau Negros yang merupakan pusat industri gula negara dan tempat golongan kaya dan petani miskin tinggal.
Pihak berkuasa berkata operasi memburu suspek pemberontak dilakukan susulan serangan komunis di Negros.
“Mereka menyerang unit operasi polis. Kita terpaksa membalas serangan. Kira-kira (14 orang) petani terbunuh, tetapi kita tidak pasti jumlah sebenar yang terkorban,” kata jurucakap polis Edilberto Euraoba.
Polis turut menahan 12 lelaki selain menemukan pelbagai senjata yang digunakan suspek yang dibunuh.
Bagaimanapun kumpulan hak asasi berkata kesemua mangsa yang terbunuh merupakan petani, termasuk orang tua dan laporan saksi bertentangan dengan kenyataan polis.
“Mereka tidak mampu mempertahankan diri. Kejadian ini merupakan pembunuhan beramai-ramai.
“Mereka dituduh sebagai ahli atau penyokong komunis, tetapi mereka merupakan petani yang mempertahankan hak tanah masing-masing,” kata Maria Sol Taule, peguam kumpulan hak asasi Karaptan. – AFP, 31 Mac, 2019.
Komen