Elton John sertai Clooney boikot hotel Brunei


Elton John memuji George Clooney kerana mengambil pendirian menentang diskriminasi antigay yang berlaku di Brunei. – Gambar EPA, 31 Mac, 2019.

LEGENDA pop Britain Elton John mengikut jejak langkah ‘rakannya’ George Clooney untuk memboikot sembilan hotel milik Brunei susulan pelaksanaan hukuman sebat atau direjam hingga mati kepada golongan gay dan pesalah zina di negara Islam itu.

“Saya memuji rakan saya,  #GeorgeClooney, kerana mengambil pendirian menentang diskriminasi antigay yang berlaku di #Brunei - sebuah tempat yang menyaksikan golongan gay ditindas - dengan memboikot hotel milik Sultan,” kata penyanyi itu menerusi Twitter.

John, 72, merupakan seorang akvitis gay, berkata hatinya sedih kepada staf hotel tetapi dia mahu menyampaikan mesej bahawa layanan sedemikian tidak boleh diterima.

Brunei mempunyai sembilan hotel terletak di AS, Britain, Perancis dan Itali.

Antaranya termasuk hotel ekseklusif Dorchester di London dan Hotel Beverly Hills di Los Angeles.

Pihak Hotel Dorchester bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan boikot itu.

Sebelum ini, Clooney menyuarakan bantahannya dengan menulis di laman web Deadline Hollywood.

“Setiap kali kita menggunakan mana-mana sembilan hotel ini, kita memberi keuntungan terus ke dalam poket individu yang memilih untuk melaksanakan hukuman sebat dan rejam rakyatnya kerana menjadi gay atau dituduh berzina,” tulisnya.

Brunei mengamalkan sistem monarki dan diperintah selama 51 tahun oleh Sultan Hassanal Bolkiah. 

Negara itu akan melaksanakan undang-undang tersebut bermula Rabu depan selain pelaksanaan hukuman potong tangan atas kesalahan mencuri.

Undang-undang itu hanya terpakai kepada penduduk Islam. – AFP, 31 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen