Kajian Pakatan beri kelebihan Mat Hasan di Rantau


Chan Kok Leong

Calon BN-Umno, Mohamad Hasan memulakkan kempen untuk mempertahankan kerusi Dun Rantau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) tidak berpeluang besar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau memandangkan calon Umno Mohamad Hasan memiliki lebih banyak kelebihan mengikut kajian yang dijalankan oleh PH sendiri dalam tempoh dua minggu lalu.

Selain memiliki sokongan Umno yang kuat, sentimen pengundi terhadap kerajaan PH juga memihak kepada Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Hasan, kata sumber PH.

“Peluang yang lebih positif untuknya (Mohamad) berbanding kita di kerusi ini,” kata sumber itu yang sibuk bekerja di lapangan untuk Pakatan.

Katanya kajian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau itu menunjukkan 79% pengundi Rantau akan memilih Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian.

Terdapat 22,096 pengundi di Rantau.

“Kita sedia maklum bahawa Umno mempunyai lebih 5,000 ahli di Rantau, mewakili 26% pengundi di kawasan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun masih ada peluang kecil untuk calon PH Dr S Streram (PKR) kerana kajian itu mendapati hampir separuh daripada pengundi yang mahu menyokong BN merupakan pengundi atas pagar, dan masih boleh beralih arah untuk menyokong beliau.

Kata sumber itu selepas menolak tepi pengundi tegar berdasarkan beberapa siri soalan tambahan tentang persepsi mereka terhadap PH, 48% responden yang akan memilih BN merupakan pengundi atas pagar.

“Jadi, walaupun mereka (Umno) mempunyai kelebihan besar dalam PRK kali ini, masih ada banyak peluang untuk melawan,” kata sumber itu.

Calon PH-PKR, Dr S. Streram masih berpeluang untuk menang di Rantau dengan meraih sokongan pengundi atas pagar, kata kajian itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 31 Mac, 2019.

Katanya pihak pertama yang meraih 9,000 undi sudah memenangi kerusi itu.

Menurut data kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH mempunyai peluang menang di Rantau dengan 48.1% undi popular berbanding BN (45.6%) dan PAS (4.5%).

Rantau merupakan satu daripada kerusi Dun di bawah Parlimen Rembau.

PRK Rantau yang diadakan semula ekoran petisyen pilihan raya, akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mat Hasan, Streram dan dua calon bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Sementara itu, Pengarah Ilham Centre Mohd Azlan Zainal berkata peluang yang lebih tinggi memihak kepada Mat Hasan yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan.

“Rantau merupakan kerusi yang patut dimenangi Mat Hasan. Pertama, beliau merupakan Adun selama tiga penggal di sana dan beliau juga merupakan timbalan presiden Umno.

“Beliau perlu menang untuk menaikkan moral parti dan pada usia 62 tahun, ia mungkin mengakhiri karier politiknya jika kalah di tempatnya sendiri.

“Amat penting juga buat beliau untuk menang jika mahu terus menjadi pemangku presiden Umno,” kata Azlan. – 31 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen