SEBUAH letupan di sebuah kilang elektronik di timur China membunuh tujuh orang dan mencederakan lima yang lain, kata pihak berkuasa.
Letupan berlaku apabila sebuah bilik simpanan besi sekerap terbakar di luar sebuah kilang di Jiangsu, Kunshan, kata pegawai melalui akaun rasmi WeChat.
“Punca kejadian di luar Kunshan Waffer Technology Corp Ltd masih dalam siasatan,” kata kenyataan itu.
Kebakaran bilik simpanan itu merebak ke kilang berhampiran, tambahnya, seorang daripada lima yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Kejadian berlaku kurang seminggu selepas kemalangan industri antara terburuk di China berlaku, di sebuah kilang kimia di daerah sama membunuh 78 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Letupan kuat di timur bandar Yancheng itu meruntuhkan beberapa bangunan dalam kawasan industri, memecahkan cermin rumah berhampiran dan membengkokkan pagar besi rumah.
Ia memaksa Majlis Negara, Kabinet China, untuk mengarahkan pemeriksaan dilakukan ke atas semua kilang kimia seluruh negara untuk mengadakan penilaian risiko keselamatan.
Kemalangan industri kerap berlaku di China, kerana peraturan keselamatan tidak dipatuhi.
Pada November, kebocoran gas di sebuah kilang utara Zhangjiakou, membunuh 24 orang dan mencederakan 21 yang lain.
Dan pada 2015, China menyaksikan salah satu kemalangan industri terburuk dalam sejarah negara ini berlaku di bandar Tianjin, membunuh sekurang-kurangnya 165 orang. – AFP, 31 Mac, 2019.
Komen