ISRAEL membuka semula laluan sempadan di Gaza pada Ahad selepas menutupnya selama hampir seminggu berikutan serangan roket jarak jauh Palestin, kata pihak berkuasa.
Laluan sempadan Erez untuk orang awam dan Kerem Shalom untuk perdagangan dibuka semula pada Ahad pagi, kata seorang jurucakap COGAT, unit kementerian pertahanan yang mengawasi sempadan kepada AFP.
Kedua-dua pintu laluan ditutup pada Isnin selepas roket dilancarkan mencederakan tujuh penduduk Israel dan menyebabkan serangan balas terhadap Israel.
Pembukaan semula itu dibuat selepas puluhan ribu rakyat Palestin membantah sepanjang sempadan Gaza dengan Israel pada Sabtu, selepas setahun demonstrasi dan pertempuran meletus di sana.
Empat penduduk Palestin terbunuh pada Sabtu ketika protes dan pertempuran, tetapi kekacauan terkawal dan kebimbangan mengenai pertumpahan darah secara besar-besaran dielakkan selepas rundingan dipimpin Mesir.
Lima roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke Israel menyebabkan kereta kebal Israel melancarkan serangan balas ke pos tentera Hamas. Tiada korban dilaporkan akibat serangan roket atau kereta kebal.
Pegawai Hamas berkata, persetujuan dicapai akan menyaksikan Israel mengurangkan sekatan yang melumpuhkan Gaza sebagai pertukaran protes yang masih bertenang.
Israel yang berdepan tiga perang dengan Hamas sejak 2008, tidak mengulas mengenai tuntutan terhadap perjanjian.
Israel akan mengadakan pilihan raya umum pada 9 April yang bakal menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berdepan cabaran sengit daripada bekas ketua tentera Benny Gantz.
Beliau dilihat ingin mengelak keadaan bertambah buruk sebelum pilihan raya, tetapi berdepan tuduhan daripada lawan politik kerana dikatakan bersikap lembut terhadap Hamas. – AFP, 31 Mac, 2019.
Komen