KELUARGA terjejas pencemaran toksik yang menyebabkan anak-anak mereka sakit di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang cuba mendapatkan bantuan peguam terkenal Ambiga Sreenevasan untuk mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab bagi bencana tersebut.
Penduduk yang membentuk jawatankuasa bertindak Taman Pasir Putih menghubungi Ambiga dan positif bahawa peguam yang juga aktivis itu akan membantu mereka mendapatkan keadilan.
Ambiga memberitahu The Malaysian Insight beliau akan meneliti permintaan penduduk untuk mengambil kes itu.
“Saya sedang menelitinya.
Menunggu maklumat dan arahan selanjutnya,” kata beliau.
Penduduk mendapatkan nasihat Ambiga mengenai tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pihak menyebabkan bencana ini.
Pembuangan bahan kimia secara haram ke Sungai Kim Kim dua minggu lalu menyebabkan lebih 1,000 orang, kebanyakannya pelajar, dirawat kerana masalah kesihatan selepas terhidu bahan toksik.
Jabatan Alam Sekitar berkata 20 tan sisa kimia mungkin dibuang ke sungai yang mencetuskan krisis kesihatan alam sekitar dan masyarakat.
Sejumlah 111 buah sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup selepas pelajar mula jatuh sakit. Sekolah dibuka semula hari ini.
Anggota jawatankuasa bertindak Taman Pasir Putih, Sujatha Ettickan berkata beliau sudah bercakap dengan Ambiga dan peguam itu bersetuju untuk meneliti kes berkenaan.
“Saya memberitahunya anak saya adalah seorang daripada mangsa pencemaran toksik dan memberitahu ibu bapa berada dalam dilema kerana tidak tahu bagaimana boleh mengambil tindakan terhadap pihak terlibat,” kata Sujatha, 43, kepada The Insight Malaysia.
“Kami benar-benar buntu. Ada beberapa peguam cuba mengambil kesempatan daripada keadaan ini dengan mengenakan bayaran terlalu tinggi seperti RM1,000 bagi setiap mangsa dan ibu bapa,” katanya.
Sujatha kini menaruh harapan kepada Ambiga yang didakwa memberitahu akan berunding dengan beberapa peguam, tetapi memberi jaminan akan meneliti kes itu.
“Beliau berkata kes ini akan diminta di Johor supaya beliau mendapat lebih banyak peguam dan akan menasihati mereka.
“Saya juga memberitahunya ibu bapa tidak dapat membayar yuran guaman yang tinggi. Beliau berkata perkara itu boleh dibincangkan kemudian.”
Sujatha berkata setakat ini, kira-kira 100 orang ibu bapa bersetuju memilih Ambiga untuk kes mereka.
“Kami berasa sangat positif beliau akan membantu kami.”
Seorang lagi ibu bapa, Saloma Hassan berkata beliau yakin memperoleh hasil yang baik jika Ambiga berada di pihak mereka.
“Beliau bersih (tidak rasuah) dan tidak politik. Kami tidak mahu sebarang politik dalam hal ini kerana ia melibatkan anak-anak kita,” kata wanita berusia 39 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
“Kami memerlukan orang yang tepat untuk membantu kita melawan kes ini dan kami berharap beliau dapat membantu mangsa di sini,” kata Saloma sambil menambah beliau berharap mendapat bantuan perubatan dan pampasan bagi anak-anak mereka.
Saloma berkata mereka juga ditemui oleh parti politik dan peguam yang mahu mewakili mereka.
“Ada yang mengatakan mahu membantu kami secara percuma, tetapi kemudian meminta bayaran. Mereka meminta deposit sebanyak RM300 seorang.
“Saya mempunyai tiga orang anak dan ia bermakna RM900. Kami bukan dari keluarga kaya. Kami tidak mampu,” katanya.
Shahrina Mohd Noor yang mempunyai tiga anak berkata anak lelakinya yang berusia 12 tahun terjejas semasa gelombang pertama.
“Beliau mula muntah dan kemudian pengsan. Kami bimbang dan tidak pasti mengenai gejala jangka panjang.
“Sebelum ini anak saya sihat, tetapi kini beliau mengalami masalah kesihatan. Kami mahu keadilan dan pampasan sewajarnya untuk anak saya,” kata wanita berusia 36 tahun itu.
Walaupun Shahrina gembira kerana Ambiga mungkin mewakili mereka, beliau juga bimbang mengenai bayaran guaman.
“Akan ada kos, tetapi kami berharap ia jumlah yang munasabah,” katanya. – 31 Mac, 2019.

Komen