PIHAK berkuasa Myanmar merampas lebih 1,700 kilogram methamphetamine bernilai hampir $29 juta dalam operasi multi-negara minggu ini, rampasan terbesar tahun ini di negara dipercayai sebagai pengeluar dadah jenis itu yang terbesar di dunia.
Dadah bermutu tinggi itu diseludup keluar dari Myanmar melalui rangkaian canggih untuk pasaran maju sejauh Jepun, Korea Selatan dan Australia.
Operasi minggu ini bermula pada 24 Mac apabila Tentera Laut Myanmar menahan tujuh orang di pantai Perbandaran Kawthaung – hujung selatan negara itu dan menemui 1,737 kilogram dadah methamphetamine, lapor akhbar kerajaan Myanmar Sabtu lalu.
“Ia adalah rampasan terbesar tahun ini,” kata seorang pegawai dari Jabatan Kawalan Dadah Kebangsaan kepada AFP.
Menggunakan maklumat diperoleh dari telefon satelit, navigator GPS dan tiga telefon bimbit di atas kapal, pihak berkuasa menyerang rumah pemilik dadah di Yangon pada keesokan harinya selain menahan isterinya dan merampas tujuh buku bank.
Pemandu trak di negeri timur Shan dipercayai membawa dadah itu melalui jalan darat ditangkap pada hari sama sementara pihak berkuasa pada Selasa menangkap pemilik kapal.
Tetapi pemilik dadah masih melarikan diri dan pihak berkuasa sedang berusaha mendapatkannya. – AFP. 31 Mac, 2019.
Komen