Pelajar di Pasir Gudang mula kembali ke sekolah


Noel Achariam

Pelajar mula kembali ke sekolah selepas berlakunya krisis pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Mac, 2019.

KEADAAN kembali normal di Pasir Gudang, Johor apabila pelajar mula kembali ke sekolah selepas berlakunya krisis pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Pelajar yang tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dilihat memakai topeng perlindungan M35.

Ketika perhimpunan, pelajar diingatkan untuk berhati-hati, meminimumkan aktiviti luar dan sentiasa memakai topeng.

Ibu, Norazimah Ishak, 43, berharap tidak ada lagi kejadian tidak diingini berlaku di kawasan itu.

“Anak perempuan saya berusia 14 tahun berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama enam hari ketika krisis itu melanda.

“Saya masih bimbang tentang kesihatannya tetapi dia perlu pergi ke sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dua minggu lalu menyebabkan lebih 5,000 orang kebanyakkannya pelajar dirawat selepas berdepan masalah kesihatan.

Jabatan Alam Sekitar berkata, kemungkinan kira-kira 20 tan sisa kimia dibuang ke dalam sungai menyebabkan berlakunya krisis kesihatan terhadap alam sekitar dan masyarakat sekeliling.

Sejumlah 11 buah sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup sejak krisis berlaku bermula 7 Mac lalu apabila pelajar sekolah mula jatuh sakit.

Hari ini, sesi persekolahan kembali di buka.

Ibu, Zalita Abu Hassan, 48, berkata, dia bimbang keselamatan anak perempuannya berusia 13 tahun dan mengingatkan anaknya supaya berhati-hati serta memberitahu guru sekiranya ada berasa sakit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Mac, 2019.

Ibu, Zalita Abu Hassan, 48, berkata, dia bimbang keselamatan anak perempuannya berusia 13 tahun.

“Saya masih takut tetapi anak saya wajib menghadiri kelas kerana mempunyai peperiksaan.

“Saya memberitahu dia supaya berhati-hati dan segera berjumpa guru serta merta sekiranya berasa sakit,” katanya.

Bapa, Jhazan Ahmad 52, berkata, keadaan di Sungai Kim Kim bertambah baik dan dia tidak mempunyai masalah untuk menghantar anak perempuannya berusia 13 tahun ke sekolah.

“Anak perempuan saya tidak terjejas terus seperti pelajar lain tetapi kami tetap masih berhati-hati.

“Kami harap semuanya akan kembali normal di sini,” katanya.

Semalam, ibu bapa dan guru berkumpul membersihkan empat sekolah berhampiran Sungai Kim Kim berikutan sesi persekolahan dibuka hari ini selepas ditutup susulan insiden pencemaran sisa kimia.

Ibu bapa mahu memastikan anak-anak yang memulakan sesi persekolahan hari ini dalam keadaan bersih dan selamat selepas ramai yang mengalami trauma akibat terhidu asap beracun dari pencemaran sisa kimia. – 31 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen