Zuckerberg mahu kerajaan lebih aktif kawal selia internet


Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mahu kerajaan memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal selia internet dan menyeru agar lebih banyak negara mengamalkan peraturan seperti Eropah yang bertujuan menjaga privasi pengguna. – Gambar EPA, 31 Mac, 2019.

KETUA Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg kelmarin mahu kerajaan memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal selia internet dan menyeru agar lebih banyak negara mengamalkan peraturan seperti Eropah yang bertujuan menjaga privasi pengguna. 

Facebook dan media sosial lain sudah lama menentang campur tangan kerajaan tetapi rangkaian sosial utama membenarkannya di tengah-tengah permintaan semakin meningkat berkenaan peraturan itu.

“Saya percaya kita memerlukan peranan lebih aktif kerajaan dan pengawal selia,” kata Zuckerberg dalam satu kenyataan di The Washington Post.

“Dengan mengemas kini peraturan internet, kita dapat mengekalkan apa yang terbaik mengenainya – kebebasan untuk orang-orang mengetengahkan diri sendiri dan untuk usahawan membina perkara baharu sambil melindungi masyarakat dari bahaya yang semakin meluas,” katanya.

Zuckerberg berkata bahawa peraturan baharu diperlukan dalam empat perkara iaitu kandungan berbahaya, perlindungan pilihan raya, hal sulit dan kebolehgunaan data.

Facebook menetapkan empat perkara itu susulan dari ucapan kebencian di di media sosial dan siaran serangan langsung baru-baru ini di masjid New Zealand.

Ia digunakan dalam usaha campur tangan dalam pemilihan dan kebimbangan mengenai pengumpulan data pengguna peribadi.

Menangani perlindungan terhadap privasi pengguna, Zuckerberg berkata, beliau akan menyokong lebih banyak negara yang mengamalkan peraturan selaras dengan Peraturan Umum Perlindungan Data (GDPR), satu peraturan dalam undang-undang Kesatuan Eropah (EU).

GDPR ini memberikan kawalan kepada rakyat dan penduduk terhadap data peribadi mereka serta memudahkan persekitaran kawal selia untuk perniagaan antarabangsa dengan menyatukan peraturan di dalam EU.

“Saya percaya ia akan menjadi baik sekiranya lebih banyak negara menguna pakai peraturan seperti GDPR sebagai rangka kerja yang sama,” katanya yang turut menyeru supaya adanya peraturan untuk menjamin keupayaan data antara perkhidmatan.

Mengenai kandungan yang berbahaya, Zuckerberg berkata, beliau bersetuju dengan penggubal undang-undang yang mengatakan bahawa ‘kami mempunyai banyak kuasa untuk bercakap’ selain mengatakan badan pihak ketiga boleh menetapkan standard pengedaran bahan berbahaya dan mengukur syarikat terhadap piawaian tersebut.

Mengenai pilihan raya katanya, undang-undang yang ada tertumpu pada calon dan pemilihan bukannya isu politik yang memecah belah di mana kita telah melihat lebih banyak percubaan campur tangan, mendesak undang-undang dikemas kini untuk mencerminkan realiti ancaman.

“Peraturan yang mengawal internet membenarkan usahawan menyediakan perkhidmatan yang mengubah dunia dan mencipta banyak nilai dalam kehidupan orang ramai.

“Sudah tiba masanya­ mengemas kini peraturan-peraturan ini untuk menentukan tanggungjawab jelas untuk orang, syarikat dan kerajaan,” tulis Zuckerberg. – AFP, 31 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen