BUAT bekas penagih dan penjual dadah Loke, realiti sudah menghukumnya bahawa kehidupan tidak lagi boleh kembali normal.
Walaupun dia sudah sembuh, Loke berkata, dia masih bergelut setiap hari untuk menangani masalah emosi dan mental sejak bertahun-tahun menjadi penagih.
“Berhenti dari menagih adalah proses yang tidak pernah berakhir. Badan saya mungkin lebih baik tetapi emosi masih di sini. Selalunya bila kemurungan berulang, saya akan mengambil dadah lagi.
“Dadah jenis ini akan tetap bersama kamu selama-lamanya, anda hanya boleh bebas sekiranya kamu mati,” kata Loke kepada The Malaysian Insight.
Kehidupan Loke berada pada satu tahap bawah sekali apabila dia terdesak mahu menghilangkan ketagihannya, dia cuba membunuh diri tetapi tidak dapat melakukannya.
Sebaliknya, dia mengunci dirinya di dalam bilik dan cuba menahan dirinya dari mengambil dadah.
Dia berdepan dengan gegala kebimbangan melampau, panik, keletihan dan kesakitan.
Tetapi kesakitan dan penderitaan bukanlah apa-apa berbanding ketagihannya itu menyebabkan dia hilang kepercayaan rakan-rakan dan keluarga terdekatnya termasuk anak perempuannya sendiri.
Loke yang kini sedang mengusahakan perniagaan pertanian dengan beberapa rakan kongsi bersetuju untuk ditemu bual oleh The Malaysian Insight dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Kehidupan jenayah
Kira-kira 10 tahun lalu, Loke menyertai sebuah kumpulan dengan harapan untuk menjadi kaya dengan melakukan pelbagai kerja dari menjual CD cetak rompak kepada penagih dadah.
“Bila saya dapat duit lebih sikit dari penjualan CD, saya mula mengambil dadah. Saya bermula dengan K (Ketamin) dan ‘Fivers’ (nitrit). Kemudian saya cuba meth, ia yang terbaik dan saya sukakannya.
“Selepas ketagih, saya memerlukan banyak duit untuk membeli meth. Jadi saya bekerja dengan rakan-rakan saya untuk urusan jual beli meth. Sudah tentu jumlah yang kita dapat tidak banyak tetapi meth mendapat harga tinggi pada masa itu. RM100 untuk 0.2g sangat menguntungkan,” katanya.
Loke berkata, meth dihasilkan oleh ahli kimia dari negara timur tengah yang diupah oleh sindiket.
“Ahli kimia ini akan menghasilkan dadah ini dan kemudian pergi, jadi pasaran meth berkurangan menyebabkan kenaikan harga dan kualiti ubat tidak konsisten.
“Pasaran hanya akan stabil apabila ahli kimia seterusnya datang ke Malaysia,” katanya. – 31 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen