BINTANG rock Britain Mick Jagger menyuarakan kekecewaan kerana kumpulan muziknya Rolling Stones terpaksa membatalkan siri jelajah konsert di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada kerana dia terpaksa menjalani rawatan perubatan.
“Saya berasa benci kerana mengecewakan anda,” kata penyanyi berusia 75 tahun itu menerusi Twitter tanpa mengulas lanjut rawatan yang diterima.
“Saya berasa kecewa kerana terpaksa menangguhkan siri jelajah tetapi saya akan berusaha keras untuk kembali ke pentas secepat mungkin.”
Rolling Stones ditubuhkan pada 1962, pada asalnya dijadualkan mengadakan 17 persembahan di AS dan Kanada bermula 20 April dan berakhir pada 29 Jun.
Kumpulan legenda rock itu berkata mereka akan menetap semula tarikh siri jelajah tersebut.
“Mick dinasihatkan doktor agar tidak mengadakan siri jelajah buat masa ini kerana dia perlu mendapatkan rawatan perubatan,” kata kenyataan rasmi kumpulan itu.
“Doktor menasihatkan Mick untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum kembali ke atas pentas secepat mungkin.”
Jagger mempunyai lapan orang anak, lima cucu dan seorang cicit tetapi masih mampu mengekalkan tenaga ketika membuat persembahan pada usia 70 tahun. – AFP, 30 Mac, 2019.
Komen